Jabatan kerajaan diarah guna produk tempatan

Jabatan kerajaan diarah guna produk tempatan

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan serta Agensi di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seluruh jabatan kerajaan diarah agar tidak menggunakan barangan import terutamanya berkaitan makanan dalam semua acara rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya jabatan kerajaan disaran menggunakan produk tempatan sebagai usaha menyokong para petani mengeluar dan memasarkan produk mereka, selain menyokong ekonomi negara.

“Dalam beberapa kunjungan saya ke luar negara seperti Laos, Vietnam dan Thailand, saya belum pernah makan makanan import dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini.

“Mereka memastikan makanan tempatan (disediakan). Sebab itu kita bagi arahan seluruh jabatan kerajaan kita tidak ada bahan import disediakan,” katanya berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini semalam.

Menurut Anwar lagi, tindakan kerajaan mengenakan cukai kepada buah-buahan import adalah untuk memberi peluang kepada para petani tempatan untuk mengeluarkan hasil tani mereka dengan lebih banyak.

Beliau juga turut mengulangi keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana mengambil kira pendapatan rakyat yang masih di tahap rendah.

Katanya, walaupun sistem GST adalah telus dan efisien, tetapi ia mengenakan cukai secara menyeluruh yang akan menyusahkan rakyat bawahan.

Berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau menjelaskan, sistem cukai itu lebih bersasar dan hanya mengenakan cukai kepada barangan tertentu, khususnya barangan import mewah atau buah-buahan import.

“Ketika saya Menteri Kewangan dahulu, saya masih ingat jawapan saya di Parlimen, GST itu adalah antara sistem percukaian yang efisien dan telus. Tetapi saya terpaksa tangguhkan kerana nilai ambang pendapatan rakyat ketika itu terlalu rendah.

“Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian tetapi banyak yang terkena (cukai). Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.

“GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh. Sekarang ini orang masih ada gaji RM1,700 atau RM2,000 pun ada.

“Mungkin saya tidak bijak dalam membuat keputusan ini, tetapi niat saya tidak mahu memperkenalkan cukai yang memberi kesan dan menyusahkan rakyat bawahan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan perluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jika mana-mana pihak ada cadangan lebih baik untuk pelaksanaan cukai, maka ia boleh dibincangkan secara baik, namun tidak boleh mengutuk sistem cukai SST yang diperkenalkan secara progresif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN