GAZA: Misi 12 aktivis terkenal termasuk Greta Thunberg menghantar bantuan kemanusiaan dan mencabar sekatan laut Israel ke atas Gaza gagal selepas kapal yang mereka naiki dipintas tentera rejim semalam.
Menurut kumpulan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang mengendalikan misi itu, hubungan dengan aktivis di atas kapal Madleen terputus awal pagi Isnin selepas siren kecemasan berbunyi dan tentera Israel didapati memasuki kapal tersebut.
Tentera rejim dilaporkan menahan mereka dan membawa kesemua penumpang ke wilayah Israel.
Kumpulan itu juga menyiarkan beberapa video daripada aktivis di atas bot, termasuk daripada Thunberg sendiri menunjukkan mereka memakai jaket keselamatan sambil duduk dengan tangan diangkat.
“Jika anda melihat video ini, kami telah dipintas dan diculik di perairan antarabangsa,” kata Thunberg dalam rakaman tersebut.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata, beliau mengarahkan tentera supaya menghalang kapal itu daripada memasuki Gaza atau melanggar sekatan laut yang didakwa untuk mengelakkan penyeludupan senjata oleh pejuang Palestin.
Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, bot berkenaan diarah menukar haluan sebaik menghampiri kawasan larangan dan ditarik ke pantai Israel sejam kemudian.
“Penumpang dijangka akan dihantar pulang ke negara masing-masing. Jumlah bantuan kecil di atas kapal, yang tidak digunakan oleh ‘golongan ‘selebriti’ ini akan dihantar ke Gaza melalui saluran bantuan kemanusiaan sebenar,” kata kenyataan kementerian itu di media sosial.
Thunberg bersama pelakon Game of Thrones, Liam Cunningham; Ahli Parlimen Perancis, Rima Hassan serta aktivis dari pelbagai negara menaiki kapal Madleen bagi meningkatkan kesedaran terhadap krisis kemanusiaan di Gaza yang diancam kebuluran, kekurangan zat makanan dan penyakit sejak perang meletus 21 bulan lalu.
FFC mempertikaikan sekatan Israel terhadap misi itu, menyifatkannya sebagai tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa serta cubaan menjustifikasikan keganasan terhadap orang awam dan memperlekeh usaha bantuan.
“Kami tidak akan gentar. Dunia sedang memerhati. Madleen ialah kapal awam, tidak bersenjata dan belayar di perairan antarabangsa.
“Ia membawa bantuan kemanusiaan dan aktivis hak asasi dari seluruh dunia. Israel tiada hak untuk menghalang usaha kami untuk sampai ke Gaza,” kata jurucakap FFC, Hay Sha Wiya.
Kapal itu membawa bekalan bantuan simbolik seperti beras dan susu formula bayi dengan beberapa penumpangnya yang lain terdiri daripada warganegara Brazil, Perancis, Jerman, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Turkiye.










