BAITULMUQADDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan pasukan tenteranya untuk menghalang kapal bantuan yang membawa aktivis termasuk Greta Thunberg, daripada menembusi sekatan Israel dan memasuki Semenanjung Gaza.
Kapal layar Madleen yang berdaftar di bawah bendera British dan dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) berlayar dari Sicily pada 6 Jun lalu.
Kapal itu kini berada di luar pesisir Mesir dan menuju ke Gaza yang kini dikepung oleh Israel.
“Saya telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) supaya bertindak agar Madleen tidak dibenarkan sampai ke Gaza.
“Kepada Greta yang antisemitik dan rakan-rakannya yang menyebar propaganda Hamas, saya ingin tegaskan, lebih baik kamu berpatah balik kerana kamu tidak akan dibenarkan masuk ke Gaza,” kata Katz dalam satu kenyataan.
Aktivis iklim dari Sweeden, Thunberg menyatakan bahawa beliau menyertai kru kapal Madleen untuk mencabar sekatan haram Israel serta jenayah perang yang semakin memuncak di Gaza, sambil menyeru perhatian terhadap keperluan bantuan kemanusiaan yang mendesak.
Thunberg turut menolak tuduhan antisemitisme yang dilemparkan Israel sebelum ini.
Israel melancarkan perang terhadap Hamas pada Oktober 2023 selepas kumpulan pejuang Islam itu melancarkan serangan mengejut di selatan Israel menyebabkan lebih 1,200 orang terbunuh dan 251 lagi dijadikan tebusan, menurut angka rasmi Israel.
Sejak itu, lebih 54,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan berterusan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza manakala sebahagian besar wilayah Palestin itu kini musnah teruk.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini berisiko tinggi menghadapi kebuluran.
Katz menegaskan bahawa sekatan laut ke atas Gaza adalah penting demi keselamatan Israel dalam usaha menumpaskan Hamas.
“Israel tidak akan membenarkan sesiapa pun memecahkan sekatan laut ke atas Gaza yang tujuan utamanya adalah untuk menghalang pemindahan senjata kepada Hamas,” katanya.- AGENSI










