TEHERAN: Pihak berkuasa Iran memperluaskan larangan membawa anjing berjalan di tempat awam ke beberapa bandar di seluruh negara, dengan alasan kebimbangan terhadap kesihatan awam, ketenteraman sosial dan keselamatan.
Larangan tersebut, mengulangi arahan polis pada 2019 melarang membawa yang melarang membawa anjing berjalan di Teheran, kini diperluaskan ke bandar Ilam di barat Iran pada Ahad, lapor media tempatan.
Sekurang-kurangnya 17 bandar lain melaksanakan larangan sama dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk Isfahan di bahagian tengah dan Kerman di selatan.
Memiliki dan membawa anjing berjalan menjadi isu yang dipertikaikan sejak revolusi Islam 1979 di Iran, walaupun tiada undang-undang khusus melarang pemilikan haiwan tersebut.
Pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa memperkenalkan larangan membawa anjing berjalan di tempat awam atau dalam kenderaan, sebagai sebahagian daripada kempen menggalakkan pengurangan pemilikan haiwan itu.
Namun, penguatkuasaan larangan kebanyakannya tidak konsisten, kerana ramai pemilik masih terus membawa anjing mereka berjalan di Teheran dan tempat lain di seluruh Iran.
Akhbar reformis Etemad, yang memetika seorang pegawai dari bandar Ilam sebagai berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan tanpa memberikan butiran lanjut.
Sabtu lalu, akhbar milik kerajaan Iran melaporkan, langkah terbaharu itu bertujuan untuk memelihara ketenteraman awam, menjamin keselamatn dan melindungi kesihatan masyarakat.
Pada 2021, kira-kira 75 ahli Parlimen mengutuk pemilikan haiwan peliharaan sebagai ‘masalah sosial yang merosakkan’, dengan menyatakan ia boleh beransur-ansur mengubah cara hidup Iran dan Islam.
Pada 2017, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, memelihara anjing atas sebab selain untuk mengembala, memburu atau menjaga keselamatan dianggap sebagai tercela.- AFP










