TEHERAN: Iran melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke arah Israel pada malam Jumaat, sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran rejim terhadap kemudahan nuklear dan ketenteraan di Teheran.
Bunyi letupan kedengaran di seluruh Baitulmuqaddis, dan stesen TV Israel menyiarkan kepulan asap kelihatan di Tel Aviv dipercayai selepas serangan peluru berpandu itu.
Tentera berkata, puluhan peluru berpandu dilancarkan dan pihaknya mengarahkan penduduk di seluruh negara supaya berlindung di tempat perlindungan bawah tanah.
Serangan itu adalah sebagai membalas serangan udara Israel ke atas Iran pada awal pagi Jumaat, yang menyasarkan pegawai tertinggi ketenteraan serta lokasi nuklear.
Israel turut menyifatkan tindakannya itu sebagai permulaan, sekali gus meningkatkan potensi tercetusnya perang besar-besaran antara dua musuh ketat di Asia Barat itu.
Ia dilihat sebagai serangan paling besar yang pernah dihadapi Iran sejak perang dengan Iraq pada 1980-an.
Iran segera bertindak balas dengan menghantar sekumpulan dron ke arah Israel, sementara Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran mengenai ‘hukuman berat’.- AGENSI










