Idealisme berbeza, peluang lihat KJ-Rafizi bergabung tipis

Idealisme berbeza, peluang lihat KJ-Rafizi bergabung tipis

RAFIZI RAMLI dan KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Peluang untuk melihat dua figura politik tanah air, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin bergabung di bawah satu parti politik agak tipis dalam masa terdekat kerana kedua-dua individu itu mempunyai idealisme politik yang berbeza.

Bagaimanapun penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian tidak menolak kemungkinan kerjasama itu boleh terjadi pada masa hadapan kerana sifat politik yang dinamik.

“Masing-ma­sing pada masa ini ada idealisme politik yang ber­beza dan sa­ya percaya, me­reka tidak akan bergabung untuk menubuhkan parti, tetapi akan menjadi ‘se­mak dan imbang’ ke atas isu tertentu.

“Dalam hal ini, saya melihat Rafizi akan kekal menjadi suara pengimbang dalam PKR dan Khairy pula akan kekal sehingga diterima UMNO kerana dipecat dan tidak meninggalkan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia dalam ruangan rencananya semalam memperkatakan mengenai kemungkinan Khairy dan Rafizi akan bergabung dan membentuk blok ketiga selepas kewujudan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana kedua-dua pemimpin itu dilihat berpotensi untuk menarik sokongan baharu kerana masih mempunyai pe­ngaruh yang kuat ketika ini.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, realiti untuk membentuk blok ketiga atau menubuhkan sebuah parti baharu di negara ini bukan semudah melaungkan slogan perubahan tetapi ia menuntut le­bih daripada sekadar idealisme.

Menurutnya, sejarah membuktikan parti baharu yang mun­cul pasca pilihan raya tidak mampu bertahan lama tanpa jaringan akar umbi yang kukuh, selain beban kewangan bagi menguruskan logistik, jentera dan program rakyat.

“Tetapi kalau pakatan baharu atau blok ketiga itu berlaku ia memberikan pilihan kepada generasi baharu untuk menyokong terutama mungkin mereka yang sudah muak de­ngan parti-parti yang ada sekarang,” katanya.

Bagi penganalisis Politik dari Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, bukan sesuatu yang mustahil buat Rafizi menubuhkan sebuah parti politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 ke­rana beliau sudah tidak mempunyai ruang untuk meluaskan pengaruh dan mendaki hirarki kepemimpinan PKR.

Jelasnya, walaupun Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 melarang tindakan lom­pat parti namun sele­pas tempoh tiga tahun, seseorang Ahli Parlimen masih boleh berbuat demikian kerana tidak perlu diadakan pilihan raya kecil, selain memenuhi sebahagian syarat untuk layak menerima saraan sebagai wakil rakyat.

“Rafizi dijangka me­nggerakkan satu lagi blok bagi membuka laluan baharu politik mereka. Tempoh tiga tahun penggal matang hanya beberapa bulan sahaja lagi pada hujung tahun ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN