Henti pencerobohan, tangani krisis alam – Sultan Nazrin

Henti pencerobohan, tangani krisis alam – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pencabulan dilakukan terhadap mana-mana makhluk yang menyebabkan kemusnahan, kerosakan, pencemaran dan pembunuhan akan membawa kepada ketidakseimba­ngan dan terganggunya proses kitaran hidup alam semula jadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kemunculan haiwan yang mula berkeliaran menghampiri pe­nempatan manusia menandakan bahawa habitat mereka te­lah diganggu dan dicerobohi.

Titah baginda, Negeri Perak memilih ‘Hijrah dan Kelesta­rian Menyatukan Ummah Memelihara Bumi sebagai tema sambutan Maal Hijrah 1447 selaras dengan larangan keras agama terhadap sebarang bentuk pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar.

“Alam sekitar yang rosak bukan hanya memberi implikasi buruk kepada manusia bahkan seluruh alam akan merasai kesan yang mengundang bencana dan bahaya.

“Islam memandang per­bu­a­tan mencemarkan alam sehing­ga merosakkan habitat dan men­jejaskan kehidupan makh­luk sebagai perlakuan dosa dan pelakunya dilaknat.

“Amatlah tidak bertanggung­jawab bagi manusia yang dikurniakan akal oleh Ilahi memilih melakukan kerosakan.

“Insaflah, sedarlah. Bencana yang semakin merosakkan bumi ini berpunca daripada manusia yang kufur, manusia yang melampaui batas, manusia yang melanggar perintah Ilahi, manusia yang melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru di sini semalam.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Sultan Nazrin bertitah, dunia pada hari ini berhadapan fenomena alam yang mengalami pelbagai bencana sehingga mengancam kesejahteraan hi­dup dan kelestarian alam.

Titah baginda, pertambahan bilangan serta kepadatan penduduk, penerokaan tanah dan penempatan baharu, pembinaan prasarana, peningkatan kawasan bandar dan pengembangan aktiviti perindustrian secara langsung telah memberi kesan terhadap alam.

“Fenomena yang sedang ber­laku seharusnya mencetuskan kesedaran kepada pelbagai pi­hak untuk berganding bahu menangani krisis alam yang semakin membimbangkan.

“Islam sebagai agama yang syumul mementingkan perlin­dungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah,” titah baginda.

Baginda bertitah, bumi adalah tempat tinggal sementara yang dipinjamkan oleh Allah kepada manusia sebelum manusia berpindah ke alam barzakh atau apabila sampai ketentuan yang bumi ini akan hancur dan lenyap ketika tiba­nya kiamat.

Titah baginda, bumi ini juga merupakan tempat tinggal semua makhluk lain ciptaan dan milik Ilahi.

“Haiwan, unggas, kehidupan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan, sumber alam dan pelbagai kehidupan lain berkongsi dan berada di bumi yang sama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar permulaan hijrah 1447 menjadi titik tolak kepada keinsafan untuk melakukan perubahan dan menghentikan segala kebejatan yang memusnahkan alam.

“Semoga tema ‘Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memulihara Bumi’ dapat meningkatkan kesedaran ummah terhadap kelestarian alam,” ujar baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN