Gugur ‘Islam’ pada pertubuhan

Gugur ‘Islam’ pada pertubuhan

Utusan Malaysia 20 Jun 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan untuk mela­rang atau menggugurkan nama ‘Islam’ pada semua pertubuhan yang tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966 perlu dibawa ke Parlimen.

Pengarah Eksekutif Institut Reformasi Politik & Demokrasi (Reform), Idzuafi Hadi Kamilan berkata, Parlimen juga boleh memperkenalkan pindaan secara retrospektif sekiranya kerajaan merasakan keperluan untuk mengenakan peraturan itu secara berbalik terhadap pertubuhan sedia ada.

Katanya, meskipun perkara berkaitan agama terletak di bawah kuasa negeri, sebarang pindaan kepada undang-undang seperti Akta Pertubuhan perlu diluluskan di peringkat Parlimen kerana ia adalah Undang-Undang Persekutuan.

“Semua pertubuhan di negara ini tetap tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966, yang menjadi rujukan utama sekiranya timbul isu berkaitan nama yang boleh menimbulkan kekeliruan, tidak senonoh atau bertentangan dengan kepentingan awam.

“Sebagai contoh, nama yang berkaitan dengan institusi seperti polis dan tentera, atau yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan politik boleh dilarang di bawah peruntukan akta tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pemakaian fatwa terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia).

Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, baginda turut menggesa SIS agar tidak lagi menggunakan istilah ‘Sisters in Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan atau platform yang dikaitkan dengan pertubuhan tersebut.

Menurut Idzuafi Hadi lagi, mana-mana rakyat berhak untuk menubuhkan pertubuhan termasuk menggunakan nama berkaitan dengan ‘Islam’, sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kebebasan itu meliputi hak untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan termasuklah menamakan pertubuhan dengan unsur agama.

“Tetapi jika timbul isu berkaitan nama Islam itu yang boleh menimbulkan kekeliruan, tidak senonoh atau bertentangan dengan kepentingan awam, ia boleh dibawa dan dicabar di Parlimen,” ujarnya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow pula berkata, pindaan boleh dilakukan terhadap Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta akta-akta berkaitan bagi cadangan membuang perkataan ‘Islam’ pada pertubuhan.

Jelasnya, perbincangan lanjut perlu dilakukan dengan pihak-pihak berkepakaran untuk menilai cadangan ini dengan teliti sebelum ia dilaksanakan.

“Sepanjang pengetahuan saya, tiada peruntukan khusus mengenai perkara ini. Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan parti politik yang menggunakan nama ‘Islam’ dalam negara ini sejak sekian lama.

“Namun, saya setuju dengan sebarang cadangan untuk mengehadkan penggunaan nama yang mempunyai kaitan dengan agama, kaum, etnik atau perkataan yang boleh dilihat sebagai sensitif untuk semua pertubuhan NGO dan parti politik dalam Malaysia.

“Perkara ini dilihat penting pada ketika ini kerana ia melibatkan isu sensitif. Sebarang isu sensitif dikawal sebelum ia menimbulkan salah faham dan konflik,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, amat tidak wajar sekiranya ada pihak yang menggunakan nama ‘Islam’ sedangkan perjuangan yang dibawa bercanggah dengan ajaran agama itu sendiri.

“Sebagai contoh, ada yang menubuhkan pertubuhan berlabelkan Islam tetapi pada masa sama menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), sedangkan ia jelas bertentangan dengan prinsip Islam.

“Tindakan seperti ini merupakan cubaan mencemarkan kesucian dan keindahan Islam. Jika mahu menggunakan nama Islam, pastikan isi perjuangan itu benar-benar mencerminkan nilai Islam yang sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab pula, meskipun kebebasan bersuara dijamin dalam sistem demokrasi, ia tetap mempunyai batas agar fahaman liberal seperti yang dibawa SIS tidak berleluasa.

“SIS Forum ini telah lama wujud, namun untuk menyekat penggunaan nama ‘Islam’ dalam pertubuhan tersebut bukan sesuatu yang mudah. Ia bukan sekadar menggugurkan nama, tetapi memerlukan ketetapan yang menyeluruh.

“Jika larangan ini mahu dikuatkuasakan, ia perlu dikenakan secara adil terhadap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk organisasi politik yang menggunakan nama Islam. Perlu dinilai juga risiko dan implikasi terhadap masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×