China siap sedia hadapi Taufan Wutip

China siap sedia hadapi Taufan Wutip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pihak berkuasa China memindahkan ribuan penduduk di pulau selatan Hainan, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kedatangan Taufan Wutip semalam.

Langkah awal itu juga turut melibatkan penutupan sekolah dan penggantungan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi, lapor media rasmi negara tersebut.

Menurut agensi berita Xinhua, lebih 16,000 penduduk dipindahkan dari tapak pembinaan, kawasan rendah yang mudah dinaiki air serta lokasi berisiko banjir kilat, manakala 40,000 pekerja laut turut diarahkan kembali ke darat sebagai langkah keselamatan.

Rakaman yang disiarkan penyiar nasional CCTV menunjukkan angin kencang manakala pekerja membersihkan jalan raya daripada pokok tumbang dalam keadaan hujan lebat.

Taufan Wutip diramalkan membawa hujan lebat melebihi 100 millimeter (mm) ke enam bandar dan daerah di Hainan dengan kelajuan angin mencecah 101 kilometer sejam, menurut Xinhua.

Susulan ancaman ribut itu, Hainan menghentikan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi sementara ke bandar pelancongan Sanya menutup sekolah, lokasi pelancongan dan membatalkan semua penerbangan di lapangan terbangnya.

Taufan Wutip merupakan taufan pertama yang melanda China tahun ini selepas terbentuk di Laut China Selatan pada Rabu, menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA).

Ribut itu dijangka melanda sekali lagi antara barat Guangdong dan Guangxi pada Sabtu sambil mengekalkan tahap ribut tropika teruk sebelum bergerak ke timur laut dan semakin lemah.

Wilayah Guangdong meningkatkan tahap amaran kecemasan pada Jumaat, selain menyediakan kapal penyelamat dan lebih 30 bot tunda, lapor Xinhua.

Lebih 49,000 bot nelayan telah kembali ke Pelabuhan dengan kira-kira 10,000 kru telah turun ke darat.

China terus berdepan fenomena cuaca ekstrem berulang setiap musim panas termasuk gelombang haba, kemarau dan banjir kilat. Ogos lalu, Taufan Gaemi meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa selepas melintasi Filipina dan Taiwan sebelum melanda timur China.

Sebagai penyumbang pelepasan gas rumah hijau terbesar dunia, China juga merupakan peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui dan telah berikrar untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2060.- CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN