Bimbang populasi tinggi ikan bandaraya di Sungai Skudai

Bimbang populasi tinggi ikan bandaraya di Sungai Skudai

IKAN bandaraya yang berjaya ditangkap di Sungai Skudai, Kampung Pertanian, Kulai, Johor. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebanyak 158 kilogram (kg) ikan tombot atau lebih dikenali sebagai ikan bandaraya berjaya ditangkap dalam aktivi­ti gotong-royong memerangi spesies ikan invasif di Sungai Skudai, Kampung Pertanian, Kulai di sini semalam.

Aktiviti dua jam yang berlangsung bermula pukul 10 pagi itu diketuai pengarah projek, Afif Azmi dan melibatkan penyertaan aktif komuniti Kampung Pertanian serta mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurut Afif, program berke­naan merupakan kali kedua diadakan selepas aktivi­ti pertama pada Februari lalu yang berjaya menangkap lebih 300kg ikan bandaraya sekali gus membuktikan populasi spesies tersebut masih tinggi dan mengancam ekosistem sungai.

“Ikan bandaraya ini bukan sahaja bersaing dengan ikan tempatan seperti keli, patin dan lampam untuk mendapatkan makanan malah ia memakan telur ikan-ikan ini sehingga mengancam kelangsungan spesies asli sungai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, aktiviti berke­naan turut memberikan insentif RM1 bagi setiap satu kg tangkapan kepada peserta sebagai galakan penyertaan.

Katanya, program yang dinamakan Fish to Feed itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat setempat, khususnya golongan muda, terhadap ancaman spesies invasif seperti ikan bandaraya yang semakin berleluasa di sungai-sungai negara.

“Pembiakan berterusan ikan bandaraya memberi impak negatif kepada ekosistem kerana ia bukan sahaja mengganggu populasi ikan asli, tetapi juga merosakkan struktur tanah sungai yang menyebabkan hakisan dan perubahan aliran air,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pertanian menyambut baik penganjuran program dan berharap aktiviti berkenaan diteruskan bagi memulihara sungai dan ikan air tawar tempatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN