Bas ekspres langgar besi penghadang, 19 penumpang terselamat dari maut

Bas ekspres langgar besi penghadang, 19 penumpang terselamat dari maut

KEADAAN sebuah bas ekspres yang terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang, Kelantan-IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seramai 19 orang penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu, pemandu bas yang berusia 57 tahun dan semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika bas ekspres itu sedang dalam perjalanan menghala ke arah Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai dipandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

“Kemalangan itu hanya melibatkan kerosakan pada bas ekspres dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Seramai 19 orang yang terlibat dipindahkan ke bas lain bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan masih dijalankan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN