AS hantar cadangan perjanjian nuklear kepada Iran

AS hantar cadangan perjanjian nuklear kepada Iran

LAPORAN IAEA mendapati Iran memiliki lebih 400 kg uranium yang diperkaya hingga 60 peratus ketulenan, melebihi keperluan bagi tujuan kuasa nuklear dan penyelidikan awam.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Rumah Putih mengesahkan Amerika Syarikat (AS) menghantar cadangan perjanjian nuklear antara Iran dan Washington.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, beliau menerima elemen perjanjian AS daripada rakan sejawatan dari Oman, Badr Albusaidi, semasa lawatan singkat ke Teheran.

Perkara itu berlaku selepas laporan oleh badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati Iran meningkatkan lagi pengeluaran uranium yang diperkaya, komponen utama dalam pembuatan senjata nuklear.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, menerima cadangan perjanjian nuklear dari AS adalah langkah terbaik untuk Teheran.

Beliau berkata, Presiden Donald Trump sebelum ini menegaskan bahawa Iran tidak akan dibenarkan memiliki bom nuklear.

Menurut Leavitt, cadangan terperinci dan boleh diterima dihantar kepada Iran oleh utusan khas Trump, Steve Witkoff.

“Cadangan AS itu akan diberikan jawapan yang sewajarnya selaras dengan prinsip, kepentingan negara dan hak rakyat Iran,” tulis Araghchi di platform X, namun butiran lanjut mengenai cadangan perjanjian masih belum didedahkan.

Cadangan itu dibuat selepas laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendapati Iran kini memiliki lebih 400 kilogram (kg) uranium yang diperkaya hingga 60 peratus ketulenan, iaitu hampir dengan 90 peratus ketulenan diperlukan untuk menghasilkan senjata.

Tahap ketulenan itu jauh melebihi keperluan bagi tujuan kuasa nuklear dan penyelidikan awam.

Jumlah tersebut cukup untuk menghasilkan kira-kira 10 senjata nuklear jika diperkaya sepenuhnya, menjadikan Iran satu-satunya negara bukan kuasa nuklear yang menghasilkan uranium pada tahap itu.

Laporan itu membuka jalan kepada AS, Britain, Perancis dan Jerman untuk mendesak lembaga gabenor IAEA mengambil tindakan terhadap Iran kerana melanggar komitmen di bawah perjanjian pencegahan penyebaran senjata nuklear.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×