JERANTUT: Kira-kira 300 kubur lama dipercayai lokasi persemadian penduduk lebih seabad lalu lenyap akibat hakisan tebing Sungai Pahang iaitu di Kampung Sokti dan Bukit Puas di Mukim Pulau Tawar, di sini.
Penduduk mendakwa, sebahagian tanah perkuburan mula terjejas akibat hakisan ketika berlaku dua banjir besar pada 1971 dan peristiwa bah merah pada 2014.
Bekas Bilal Masjid, Mohd. Mokhtar Ngah, 78, berkata, lokasi dua kawasan perkuburan lama itu terletak berhampiran tebing Sungai Pahang yang sudah terhakis sejak sekian lama.
“Kebanyakan kubur lama berdekatan dengan tebing sungai kerap terdedah dengan hakisan dan runtuhan tanah (tebing) setiap kali berlaku banjir.
“Antara lokasinya adalah Kubur Besar dan Kubur Kundang terletak berdekatan tebing Sungai Pahang yang mempunyai nilai sejarah mengenai petempatan awal penduduk dan pembukaan kampung di mukim tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Puas, semalam.
Menurut Mohd. Mokhtar, difahamkan pengebumian terakhir jenazah di dua lokasi itu adalah 25 tahun lalu sebelum tapak kubur baharu dibuka di kampung berdekatan.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Puas, Mohd. Taufik Mansor, 50, berkata, sewaktu usia kanak-kanak, dia sering menziarah kubur saudara-mara di perkuburan lama itu termasuk perkuburan ibunya yang meninggal dunia pada 1986.
“Terdapat lebih 500 kubur lama dan sebahagiannya telah hilang akibat hakisan tebing sungai setiap kali banjir,” katanya.
Dia mendakwa, terbaharu puluhan kubur lama itu di kawasan seluas lebih 50 meter panjang dan 20 meter lebar di pesisir sungai itu telah terhakis dalam kejadian banjir baru-baru ini.
“Sejak kubur baharu dibuka, kawasan ini sudah terbiar. Sepatutnya, kawasan ini dijaga dan pihak berkuasa ambil tindakan untuk mengelakkan hakisan terus berlaku,” katanya.-UTUSAN.










