PETALING JAYA: Seramai 25,568 warga asing disekat dan dihalau daripada memasuki Malaysia sejak 2024 hingga Mei lalu kerana gagal memenuhi syarat kemasukan yang sah.
Warga India mencatat angka tertinggi seramai 6,755 orang, diikuti Bangladesh (4,867), Pakistan (4,757), Indonesia (2,486), Myanmar (1,126), Vietnam (117) dan lain-lain (4,718). Kesemua mereka disenaraikan di bawah Not To Land (NTL).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan, antara punca utama mereka dihalau ialah gagal membuktikan tujuan lawatan, tidak memiliki wang perbelanjaan mencukupi, tiada tiket pulang, menggunakan dokumen palsu dan maklumat penginapan meragukan.
Selain itu, ada yang tersenarai dalam senarai sekatan (watchlish) atau rekod jenayah di negara ini atau negara asal mereka.
“Malah, ada warga asing yang kerap keluar masuk negara ini tanpa sebab munasabah sekali gus dikesan cuba menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka juga dikesan menggunakan dokumen palsu atau tidak sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
AKPS turut mendedahkan wujud cubaan menyogok pegawai imigresen bagi melepasi saringan pintu masuk negara.
“Bagaimanapun, pelaksanaan sistem digital semakan rekod dan kehadiran pengawasan dalaman dengan kerjasama AKPS, membantu mengurangkan peluang berlakunya aktiviti ini.
“Beberapa siri tangkapan dan siasatan dalaman juga telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Integriti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penggunaan teknologi pengesanan biometrik dan sistem QRCode di pintu masuk utama termasuk eGate, membantu menapis dan menilai pelawat sebelum dibenarkan masuk.
Kata beliau, penggunaan teknologi itu membolehan pihaknya menyaring kemasukan 82 juta warga asing sejak 2023 hingga April lalu.
“Sistem yang digunakan berjaya menyaring individu berisiko tinggi termasuk yang tersenarai dalam jenayah berat,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, cubaan warga asing masuk negara ini secara haram melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin meningkat terutama ketika waktu puncak dan musim cuti umum.
AKPS dilaporkan berkata, seramai 279 warga asing terdiri daripada rakyat Bangladesh, Pakistan dan India, cuba masuk ke negara ini secara haram melalui KLIA, namun berjaya disekat manakala seramai 25 warga asing ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini antara Januari hingga April, manakala empat pegawai turut disiasat kerana disyaki bersubahat.
Bulan lalu sahaja, hampir 300 warga asing diarah pulang selepas tidak memenuhi syarat untuk memasuki negara ini, hasil pemeriksaan ke atas beratus-ratus warga asing yang tiba di KLIA.
Zakaria mengakui kegiatan counter setting masih berlaku di pintu-pintu masuk negara termasuk KLIA, berdasarkan tangkapan dan risikan manakala seramai 50 pegawai penguatkuasa imigresen yang bertugas di KLIA ditahan SPRM ekoran bersekongkol dengan sindiket counter setting.
“Sindiket akan cuba menyeludup masuk warga asing melalui ‘counter setting’ dengan menyasarkan individu yang disenarai hitam untuk masuk semula ke Malaysia menerusi bantuan dalaman.
“Mereka menunggu isyarat tertentu sebelum menuju ke kaunter imigresen yang telah ditetapkan, dengan harapan mendapat pelepasan masuk secara tidak sah,” katanya. – UTUSAN










