KUALA LUMPUR: Tastefully Health & Beauty Expo x Malaysia Pastry Expo 2025 mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung yang mengunjungi 200 booth kecantikan dan kesihatan di Mid Valley Exhibition Centre, baru-baru ini.
Penganjur, Esther Fong berkata, acara tahun ini menampilkan skala dan impak yang jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Sambutan yang memberangsangkan daripada tahun sebelum ini mendorong kami untuk meluaskan penganjuran pada tahun ini.
“Sebelum ini kami hanya buka satu dewan dengan sekitar 100 booth sahaja namun tahun ini kami memperluaskan penganjuran kepada dua dewan khas bagi kategori kesihatan dan kecantikan.
“Sebanyak 200 booth disediakan merangkumi produk kosmetik, suplemen kesihatan, pusat rawatan dan pelbagai lagi yang berkaitan dengan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan hidup dari dalam dan luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Esther, Malaysia Pastry Expo yang berlangsung serentak turut menyumbang kepada lonjakan kehadiran pengunjung termasuk seisi keluarga, penggiat industri bakeri, barista serta pencinta pastri dari seluruh negara.
“Gabungan dua acara ini adalah pertama kali diadakan dalam skala sebesar ini dan kami yakin dapat menyasarkan kehadiran melebihi 150,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung,” ujarnya.
Sebelum ini, majlis perasmian Tastefully Health & Beauty Expo x Malaysia Pastry Expo 2025 telah diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti ternama seperti Timbalan Pengerusi Koperasi Pasaraya Berhad, Datuk Ismail Nordin, Amber Chia, Dr. Zyro, Emely Poon dan Inthira.
Ekspo ini turut mendapat sokongan padu daripada penaja utama iaitu AmLife dan Fitarch, selain penaja bersama seperti B+ Clinic, EE Clinic, Beacon Mart, Shero, iBidan, ToYm Wardrobe dan Wellous.
Antara sorotan menarik di ekspo ialah Glow & Beauty Experience iaitu laluan interaktif 10 stesen merangkumi pemeriksaan kesihatan, penjagaan rambut dan kulit serta kesejahteraan mental.
Pengunjung yang melengkapkan kesemua stesen akan menerima hadiah eksklusif dari Tastefully.
Selain itu, ekspo ini turut menganjurkan aktiviti seperti Zumba Party, sesi perkongsian kesihatan bersama pakar dan Pesta Kek terbesar di Malaysia yang telah dimeriahkan oleh DJ Riesa dengan yuran penyertaan serendah RM20, di mana semua hasil akan disumbangkan kepada Pink Unity Cancer Association.
Sementara itu, Tastefully turut dimeriahkan dengan bengkel ‘baking’ kanak-kanak, latte art, coffee brewing workshop serta pelbagai promosi menarik seperti 1,000 beg hadiah eksklusif setiap hari, cabutan bertuah ‘Spend & Win’ dua kali sehari dan Promosi Happy Hour jam 5 petang dengan produk dijual serendah RM1.
Tidak ketinggalan, pertandingan Blogger Rednote yang melibatkan lebih 100 pempengaruh turut diadakan untuk membantu memperluas kesedaran jenama peserta dan mempromosilkan ekspo itu. – UTUSAN