150,557 pelajar lepasan SPM ditawar ke IPTA

150,557 pelajar lepasan SPM ditawar ke IPTA

Seramai 150,557 pelajar lepasan SPM 2024 berjaya ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke IPTA tahun ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 150,557 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 berjaya ditawarkan tempat melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tahun ini selepas melalui saringan sengit.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 86,589 calon ditawarkan di universiti awam, manakala 42,058 calon ditawarkan ke politeknik, 20,427 kolej komuniti dan 1,483 orang di Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.

“Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 17,693 dengan pecahan tawaran iaitu 16,189 bagi kategori B40, 590 Orang Kurang Upaya (OKU), 593 atlet dan 321 Orang Asli.

“Selain itu, seramai 43 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

KPT berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 349 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini dengan pecahan 41 sijil, 55 asasi, 252 diploma serta satu ijazah sarjana muda.

“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” jelasnya.

Untuk rekod, tahun ini KPT telah menerima 223,624 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®.

“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari.

“Ia bermula hari ini pukul 12 tengah hari hingga 25 Jun pada pukul 5 petang,” jelasnya.

Dalam keputusan SPM 2024 yang diumumkan April lalu, ia mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun sejak syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan pada tahun 2013.

Analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 dibuat berdasarkan semua calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak termasuk calon ulangan, melibatkan seramai 386,714 calon termasuk 344,919 calon dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, seramai 355,933 calon (94 peratus) layak menerima sijil SPM tahun ini, meningkat sebanyak 6,636 calon (0.5) berbanding 349,297 calon pada tahun 2023.

“Peningkatan ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan diperkenalkan pada tahun 2013, yang mewajibkan calon lulus dua mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah bagi melayakkan mereka menerima sijil SPM,’’ katanya.

Selain itu, sebanyak 237,010 calon (62.5 peratus) daripada 378,606 calon baharu telah lulus semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 226,314 calon (60.6 peratus) pada 2023.

“Nilai Gred Purata Keseluruhan (GPK) bagi SPM 2024 mencatatkan penurunan kepada 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada tahun 2023, menunjukkan penyusutan sebanyak 0.11 mata.

Pencapaian ini merupakan yang terbaik sejak tahun 2021, apabila GPK direkodkan pada 4.86 mata, dan terus menunjukkan penambahbaikan pada tahun 2022 dengan 4.74 mata.

“Seramai 14,179 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan semua A iaitu A+ A-meningkat sebanyak 2,466 calon berbanding 11,713 calon pada tahun sebelumnya. Jumlah calon yang memperoleh keputusan sekurang-kurangnya lulus (gred E) turut meningkat kepada 136,791 orang, berbanding 131,489 calon pada tahun 2023,” katanya.

Azman turut memaklumkan bahawa seramai 1,377 calon Berkeperluan Khas atau 78.7 peratus layak menerima sijil SPM, berbanding 1,362 calon (78.9 peratus) pada tahun 2023.

Prestasi calon di kawasan bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan, dengan GPK 4.47 di bandar dan 4.92 di luar bandar, menjadikan jurang perbezaan sebanyak 0.45 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×