Yang menang jangan dabik dada, kalah jangan berundur ke belakang - AMK Kangar - Utusan Malaysia

Yang menang jangan dabik dada, kalah jangan berundur ke belakang – AMK Kangar

Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Kangar, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin menyifatkan kemenangan atau kekalahan dalam pemilihan parti adalah sesuatu perkara biasa dengan yang menang jangan terlalu mendabik dada manakala yang kalah jangan terus berundur ke belakang.

Katanya, mereka yang menang dan kalah itu harus bersatu sebagai satu pasukan yang kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka lebih mencabar.

Justeru, beliau mengingatkan agar PKR tidak mengulangi kesilapan lalu yang membawa parti itu kepada perpecahan hanya kerana perbezaan pendapat.

“Kita mesti bangkit semula dan kali ini dengan lebih kuat, lebih bersatu dan lebih sedar akan tanggungjawab kepada
rakyat seiring anjakan paradigma dan transformasi ke arah Malaysia Madani.

“Saya bukan ingin mengungkit kekalahan yang lalu tetapi untuk mengangkat satu semangat iaitu transformasi bersama. Kita pernah kalah dan derita, tapi ia bukan tanda mengalah.

“Kekalahan adalah cermin untuk kita bermuhasabah dan mendidik kita untuk membina kekuatan, mengarab strategi baharu dan kembali mendengar keluh kesah serta rintihan rakyat yang mungkin menjauh dari kita,” katanya di sini hari ini.

“Yang kalah juga adalah tunjang dan kepada jalan menuju kemenangan dan jangan kita sisihkan mereka. Buka minda serta ruang kepada pengalaman dan tenaga mereka yang masih mahu berbakti,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustaf mengesahkan kemenangan Nurul Izzah Anwar yang mengatasi penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Namun di sebalik kegagalan Rafizi mempertahankan jawatan nombor dua parti itu, dua daripada Naib Presiden yang berada di dalam kemnya iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berjaya mengekalkan kedudukan.

Dua lagi Naib Presiden PKR yang berjaya terpilih ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan.

Tambah Khalid Imran, dalam mendepani PRU16, bukan sahaja semangat dan idealisme diperlukan sebaliknya misi yang lebih jelas selain mempersiapkan rangka tindakan, strategi, nilai dan pendekatan yang benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat.

“Selain itu, imej parti juga mesti diperkemas dan pusat khidmat mesti berfungsi sepenuhnya serta komunikasi media sosial diperkukuh.

“Kita juga harus sedar, pengundi Melayu masih belum sepenuhnya bersama kita dan kita harus pulihkan kepercayaan mereka bukan dengan janji sebaliknya dengan prestasi dan penyampaian yang lebih meyakinkan,” katanya yang turut menang jawatan Ahli Majlis Pimpinan AMK pusat dalam pemilihan semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN