Titah Adendum: Tujuh surat dihantar namun tiada balasan

Titah Adendum: Tujuh surat dihantar namun tiada balasan – Peguam

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pem­belaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa sekurang-kurangnya tujuh surat dihantar berhubung kewujudan Titah Adendum supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki tahanan dalam rumah.

Peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak terbabit.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jene­ral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia.

Muhammad Shafee berkata, surat itu turut dihantar kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang ketika itu adalah Peguam Negara (AG) namun tiada balasan bagi mengakui penerimaannya.

“Sekurang-kurangnya tujuh surat yang dikemukakan kepada individu atau institusi bagi memohon pengesahan Titah Adendum, tidak dijawab langsung atau dimaklumkan bahawa surat itu diterima.

“Pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap dokumen tambahan itu harus menjawab surat berkenaan namun mereka hanya berdiam diri ke­rana dokumen itu sememang­nya wujud.

“Katalah ia tidak wujud, bukan­kah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjawab surat kami dan mengatakan bahawa dokumen tambahan ini tidak ada, apa salahnya jika mereka memberitahu kami begitu, mungkin kami akan berhenti setakat itu,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini semalam.

Selain itu, katanya, prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Ahmad Terrirudin dikemukakan kerana beliau tidak memberikan arahan yang betul kepada pegawainya berhubung kewujudan Titah Adendum.

“Semasa prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, Ahmad Terrirudin gagal memberikan arahan yang betul kepada pegawainya iaitu Peguam Kanan Persekutuan dan mereka tidak pernah menafikan kewujudan titah itu sebaliknya menutup perkara itu dengan menyatakan kewujudannya ti­dak dapat dipastikan.

“Semakan kehakiman bukan satu prosiding biasa kerana ia ditujukan kepada pegawai atau badan kerajaan. Individu atau badan kerajaan yang dinamakan dalam semakan kehakiman, sepatutnya menjelaskan secara jujur maklumat berkaitan dokumen yang disimpannya.

“Mereka tidak boleh bermain hide and seek dan tidak boleh katakan ‘cuba teka sama ada ia wujud atau tidak’, sebaliknya mereka wajib menjelaskan maklumat dan dokumen itu,” ujar­nya.

Pada 21 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan memulakan pro­siding komital terhadap Ahmad Terrirudin kerana menghina mahkamah berhubung Titah Adendum.

Sejurus selepas pemfailan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya komital yang difailkan terhadap Ahmad Terrirudin diketepikan.

Dalam kenyataan dikeluar­kan AGC berkata, isu yang dibangkitkan dalam permohonan itu kini adalah subjek rayu­an yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan Permohonan Semakan Kehakiman.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN