KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan dua menteri semalam iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad adalah tindakan yang dibuat atas dasar prinsip.
Selepas tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini, tindakan Rafizi dan Nik Nazmi itu mudah difahami iaitu bagaimana untuk mereka menguruskan perihal parti sedangkan ahli parti sudah menolak mereka.
Jadi ramai juga beranggapan, tidak wajar untuk mereka meneruskan tugas dalam kerajaan sebaliknya perlu menyerahkan jawatan menteri itu kepada mereka yang benar-benar layak.
Pada masa yang sama pula, ada yang menyifatkan Rafizi dan Nik Nazmi sebenarnya tidak perlu bersikap keterlaluan dan beremosi sehingga meletak jawatan kerana tewas dalam pemilihan parti tiada kaitan dengan tugas dipikul dalam kementerian.
Namun, memandang ke hadapan setelah apa yang berlaku, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil langkah drastik bagi menggantikan kedudukan dua pemimpin berkenaan setelah tempoh cuti tahunan mereka tamat.
Pada waktu ini juga, beberapa calon yang sesuai sudah boleh disaring bagi memilih yang terbaik untuk ‘memandu’ Kementerian Ekonomi dan juga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang telah ditinggalkan tugas itu oleh Rafizi dan Nik Nazimi.
Kerajaan sudah tiada masa lagi untuk bersikap tenang memandangkan beberapa urusan penting akan berlaku pada tahun ini, termasuklah persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 21 Julai ini.
Menurut pakar perlembagaan, Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, mana-mana ahli jemaah menteri berhak meletakkan jawatan di atas apa jua sebab sekali pun, malah mereka juga tiada larangan untuk terus kekal dalam pentadbiran.
Namun, daripada segi moraliti, jelas beliau, tindakan Rafizi dan Nik Nazmi itu dianggap wajar dengan mengambil kira justifikasi tewas dalam pemilihan parti.
“Kekalahan dalam parti politik itu secara perundangannya, mereka tidak hilang kelayakan sebagai menteri atau timbalan menteri, cuma daripada segi moralnya seseorang yang tidak diterima parti itu seharusnya mengundurkan diri.
“Dalam sistem parti politik ini ialah mereka yang menjadi perwakilan itu seharusnya mendapat sokongan ahli parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Di sisi lain, peletakan jawatan tersebut sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada parti PKR itu sendiri kerana jika ia berpanjangan pasti memberikan impak negatif pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sudah pasti Rafizi dan Nik Nazmi akan mula memikirkan strategi dan survival mereka untuk kekal bertahan dalam dunia politik kerana kedua-dua pemimpin itu masih memegang mandat sebagai Ahli Parlimen di kawasan Pandan dan Setiawangsa.
Dalam hal ini, Anwar perlu membuktikan yang pemilihan parti ini adalah persaingan yang benar-benar sihat dalam keluarga, maka segalanya bergantung kepada percaturan Perdana Menteri itu yang juga Presiden PKR agar tiada perpecahan dalam parti itu sendiri. – UTUSAN










