Tanah runtuh, ratusan kenderaan terkandas

Tanah runtuh, ratusan kenderaan terkandas

KEADAAN cerun tanah runtuh menghalang laluan di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk, Gua Musang, Kelantan hari ini.-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ratusan kenderaan terkandas sehingga berlaku kesesakan sehingga dua kilometer berikutan kejadian cerun runtuh yang menghalang laluan di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Sejuk di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 7.30 malam tadi yang memaklumkan tebing tanah runtuh dan menghalang lalu lintas dekat Gua Sejuk.

Katanya, kejadian itu dipercayai akibat hujan berterusan sejak petang tadi dan menyebabkan tebing tanah runtuh menutupi laluan sehingga kenderaan dari kedua-dua hala terkandas.

“Sehingga kini laluan terbabit masih tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan dan berlaku kesesakan sehingga dua kilometer.

“Anggota polis sedang mengawal lalu lintas dan pihak Jabatan Kerja Raya sudah memaklumkan kepada pihak Projek Lingkaran Tengan Utama untuk melakukan kerja pembersihan,” katanya.

Choon Foo memberitahu, tiada kemalangan jiwa dan kerosakan kenderaan  dilaporkan. 

Katanya, hujan masih turun dan pihak polis tidak dapat menjangkakan tempoh laluan tersebut dapat dibuka kepada kenderaan.

“Ia bergantung kepada seberapa cepat bantuan sampai untuk kerja-kerja pembersihan. Tiada jalan alternatif boleh dilalui dan pengguna jalan raya dan semua pihak perlu bersabar sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN