SHAH ALAM: Golongan peniaga termasuk pengusaha kedai pastri sekitar bandar raya ini memilih untuk mengekalkan harga kek dan roti yang dijual selepas kerajaan mengurangkan pemberian subsidi telur ayam mulai 1 Mei lalu.
Seorang peniaga gerai makanan, Muhammad Asri Jamaluddin, berkata, harga makanan masih kekal apabila tiada perubahan pada kos telur ayam daripada pemborong yang dilihat mengekalkan harganya.
“Sebanyak 240 biji telur dibeli pada setiap minggu dan harganya tidak banyak berubah seperti sebelum ini. Jadi, harga makanan dijual kepada pelanggan adalah kekal,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kedai makan juga mendapati peniaga masih mengekalkan harga makanan yang dijual mereka.
Misalnya, sebiji telur dadar masih lagi kekal RM3, telur masin RM1.50 sebiji, telur rebus RM1.50 sebiji selain satu bahagian ayam goreng dijual pada RM6.
Bagi pastri pula, peniaga masih menjual sepotong kek pada harga RM12, dan satu kek macaron kecil pula dijual pada RM2.50.
Sebelum ini, kerajaan dilapor mengurangkan pemberian subsidi telur ayam daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, mulai 1 Mei lalu.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran stabil.
Bagi cef di sebuah kedai pastri, Isma Arieff Ismail memberitahu, tiada perubahan harga ketika ini, namun berharap kos telur ayam tidak terlalu tinggi selepas subsidi bahan mentah itu ditarik sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.-UTUSAN.