KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 selama dua hari di ibu negara yang berakhir semalam disifatkan paling substantif dalam sejarah dan merupakan satu kemajuan hasil persiapan rapi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada persidangan itu ASEAN telah mencapai kesepakatan dalam pelbagai perkara terutama yang membabitkan kepentingan serantau.
Katanya, sidang kali ini juga paling bermakna dalam sejarah negara apabila berjaya mencapai kesepakatan antara pemimpinnya dalam banyak hal tetapi juga turut menghimpunkan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China di satu pentas.
Justeru, Anwar berharap, hasil dan gerak kerja serta kesepakatan dalam sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dapat dilihat dalam sidang yang diadakan pada Oktober.
“Apa yang ada dalam fikiran saya ialah berlaku perubahan besar termasuk isu Myanmar. Kedua-dua pihak sedang bergerak ke arah perundingan dengan fokus utama kepada gencatan senjata jangka panjang dan bantuan kemanusiaan.
“Proses ini sedang berlangsung melalui rundingan awal dan tertakluk kepada parameter blok ASEAN, khususnya berpandukan Lima Konsensus (5Pcs). Ini merupakan kemajuan besar ke arah penyelesaian,” katanya dalam sidang akhbar penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Antara kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN kali ini adalah kesepakatan pemimpin ASEAN menurunkan tandatangan ke atas dokumen penting iaitu Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘ASEAN 2045: Our Shared Future’ yang menjadi hala tuju rantau ini bagi 20 tahun akan datang.
Selain itu, kepimpinan ASEAN turut mencapai kesepakatan dalam isu konflik di Myanmar apabila mengeluarkan kenyataan bersama menggesa kedua-dua pihak berbalah di negara itu untuk melanjutkan gencatan senjata dan memberhentikan perbalahan.
ASEAN secara kolektif menggesa Konsensus Lima Perkara dijadikan rujukan utama bagi menangani krisis politik di Myanmar, dan menegaskan yang tindakan tersebut perlu dibuat secara menyeluruh.
Anwar dalam masa yang sama berkata, ASEAN perlu bekerja secara kolektif untuk menilai dan menangani kesan terhadap Malaysia dan negara rantau termasuk isu tarif Amerika Syarikat (AS).
“Bagi isu tarif, ia kini sedang dirundingkan melalui saluran dua hala. Namun, konsensus utama dalam kalangan negara ASEAN ialah sebarang tindakan tidak boleh menjejaskan kestabilan negara anggota ASEAN, apatah lagi yang memberi kesan kepada lebih 600 juta penduduk rantau ini,” ujarnya.
Anwar turut menjadikan penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN sebagai contoh gerak kerja yang giat dilakukan negara ASEAN.
“Timor Leste, walaupun terikat dengan pelbagai perkara, kali ini telah mencapai beberapa terma baharu, dan akhirnya terdapat satu bentuk konsensus yang dicapai,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, Timor Leste akan menjadi anggota tetap ASEAN ke-11 menjelang Oktober ini.
Katanya, semua negara serantau telah mempertimbang penyertaan tersebut dengan mengambil kira komitmen negara berkenaan dalam memenuhi segala pra-syarat yang ditetapkan sebelum menjadi anggota tetap ASEAN secara sah.
Dalam hal ini, katanya, Malaysia akan membantu Timor-Leste secara konsisten dalam memastikan negara tersebut mencapai status negara tetap ASEAN.
Anwar dalam perkembangan lain turut menafikan dakwaan bahawa ASEAN kini lebih menyebelahi China berbanding Amerika Syarikat (AS) selepas menjemput negara berkenaan ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46. – UTUSAN