KANGAR: Pelbagai helah digunakan oleh para penyeludup untuk membawa masuk senjata api ke negara ini termasuk menggunakan lori sayur, ikan dan kontena.
Penyeludup turut dikesan menggunakan perkhidmatan kargo, kereta api dan laluan laut selain menggunakan ‘khidmat’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dan melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Berdasarkan tangkapan dan rampasan oleh pihak berkuasa di sempadan negara di negeri ini, senjata api turut diseludup bersama dadah.
Menurut Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, soal siasat ke atas beberapa suspek yang ditahan sebelum ini mendapati, kebanyakan senjata api yang dirampas dipercayai untuk kegunaan peribadi bagi tujuan jenayah.
“Kebanyakan senjata api dipercayai diseludup melalui pintu sempadan dan laluan tidak sah sama ada darat atau laut di sepanjang garis sempadan Perlis-Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Berdasarkan statistik sejak 2022 sehingga tahun lalu, sebanyak lima kes penyeludupan senjata api melalui sempadan negeri ini berjaya dibanteras pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 201 senjata api tulen dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2022 hingga Januari lalu.
Difahamkan, senjata api terbabit diseludup masuk ke negara ini untuk dijual kepada kumpulan kongsi gelap dan penjenayah yang terlibat dalam kes dadah dan penyeludupan.
Kata Muhammad, semua kes rampasan senjata api di negeri ini membabitkan pistol jenis semi auto, pistol buatan sendiri bersama peluru dan raifal tidak lengkap jenis AR15 serta M16 dengan komponen bersama pelbagai jenis peluru.
“Secara keseluruhan pada masa ini, kes penyeludupan senjata api di sempadan Perlis masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Bagi mengukuhkan kawalan keselamatan khususnya berkaitan penyeludupan senjata api dan dadah, beliau memberitahu, sebuah pasukan petugas khas sempadan telah ditubuhkan.
Selain itu katanya, pengumpulan maklumat berkaitan penyeludupan senjata api juga sentiasa ditingkatkan bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara.
“Pasukan khas ini ditubuhkan oleh Ketua Polis Daerah dengan kerjasama pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhammad berkata, pencegahan yang berterusan perlu dilaksanakan bagi mengekang jenayah melibatkan senjata api.
Tahap risikan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan untuk membolehkan tindakan pencegahan awal dilaksanakan.
Katanya, siasatan bagi kes penyeludupan senjata api boleh dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1972 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Hukuman boleh dikenakan ke atas pesalah adalah penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam sebatan,” katanya.- UTUSAN










