PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyita lebih banyak hartanah milik individu bergelar Tan Sri yang berada di dalam dan luar negara.
Sitaan turut melibatkan akaun milik Tan Sri berkenaan dipercayai dianggarkan nilai keseluruhan RM50 juta.
Tindakan itu susulan pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik Tan Sri terbabit disita SPRM kelmarin selepas disyaki menyeleweng dana sukuk pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Tan Sri berkenaan merupakan pemilik yang terlibat dalam pelbagai projek pembinaan di ibu negara itu dipercayai menggunakan syarikat audit untuk mengemukakan invois palsu.
Kata sumber itu, tindakan Tan Sri yang juga pemilik sebuah pusat beli belah, kononnya untuk mengelak dikenakan cukai yang tinggi selain menggunakan dana sukuk bagi menjalankan aktiviti perjudian.
“Hasil aktiviti haram itu disyaki digunakan bagi pembelian koleksi barangan mewah seperti jam, aksesori wanita dan kereta,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu menambah, SPRM turut menggeledah dua kediaman milik Tan Sri berkenaan di ibu negara dan menemukan stor simpanan khas pelbagai jenis minuman beralkohol mewah.
“Stor simpanan itu dijaga rapi kerana dijadikan tempat meletakkan semua koleksi minuman alkohol yang disyaki dibeli menggunakan dana sukuk diseleweng,” katanya.
Sumber itu turut memaklumkan, SPRM dipercayai akan menggeladah sebuah kondominium bernilai RM8 juta di Kuala Lumpur, selain menyita dua lot tanah terletak di Putrajaya dipercayai mempunyai kaitan dengan Tan Sri berkenaan.
“Bagi memperoleh bukti di luar negara, Bantuan Undang-undang Bersama (MLA) kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) akan dibuat bagi mengesan aset-aset berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri antara tiga lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam skim pelaburan haram membabitkan MBI International Group (MBI).
Setakat ini, jumlah keseluruhan pembekuan dan rampasan aset membabitkan sindiket berkenaan mencecah RM3.81 bilion menerusi 17 tangkapan sejak operasi dilancarkan.
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, tangkapan terhadap suspek berusia 46, 54 dan 58 tahun dilakukan antara 1 hingga 17 Mei lalu.
Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan dalam siri operasi khas Op Northern Star di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, hasil siasatan terhadap rangkaian sindiket skim Ponzi berkenaan.
Belia memberitahu, kesemua suspek direman antara lima hingga sembilan hari untuk membantu siasatan.
“Mereka dipercayai berperanan sebagai proksi mencuci wang sindiket, termasuk menjalankan perniagaan bagi menyamarkan sumber dana haram.
“Antara aset yang dibekukan termasuk empat kapal layar dan tiga bot penumpang bernilai RM36.3 juta, 477 hartanah bernilai RM150 juta serta empat unit kondominium bernilai RM12 juta,” katanya ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Muhammed Hasbullah berkata, wang dalam 37 akaun bank berjumlah RM328 juta turut dibekukan, bersama wang tunai RM283,070, tiga kenderaan mewah bernilai RM637,100, dua jam tangan mewah dan lima telefon bimbit disita. – UTUSAN










