SHAH ALAM: “Rujuk atau tidak bergantung kepada keputusan mahkamah.”
Demikian reaksi pempengaruh, Khairul Aiman Abdul Kudus, 26, selepas memfailkan tuntutan pengesahan lafaz cerai ke atas Siti Suriani Wahiddin, 26, atau Siti Jamumall yang tular di media sosial.
Menurutnya yang dikenali sebagai Aiman Tak Kesah, dia mengambil masa untuk berbuat demikian kerana perlu mencari dana untuk melantik peguam.
“Saya tidak mahu perkara ini menjadi lebih keruh dan mengeluarkan kenyataan yang merumitkan lagi keadaan dengan Siti. Sama ada rujuk atau tidak, kita tengok keadaan dan tunggu apa yang diputuskan mahkamah nanti,” katanya ketika Utusan Malaysia.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan kes tuntutan berkaitan lafaz cerai yang tular pada 15 Mei lalu.
Jelas Khairul Aiman, dia telah seminggu tidak menemui Siti Suriani sejak insiden berkenaan.
“Satu atau dua hari lalu kami ada berbual singkat kerana saya mahu membawanya pergi ke klini. Sejak seminggu ini, saya tinggal di tempat lain dan melakukan kerja saya,” ujarnya.
Tambah beliau, dia turut bersyukur kerana ujian air kencing ke atasnya didapati negatif dadah.
“Saya membuat ujian itu di klinik bagi mengelak persepsi buruk pelbagai pihak mengenai diri saya. Tujuan saya mahu mempertahankan diri dan keputusan lima jenis dadah ke atas saya didapati negatif,” jelasnya.
Ditanya sama ada tindakan melafazkan cerai itu sebagai taktik ‘marketing’ (pemasaran), beliau berkata ia perlu ditanya kepada Siti Suriani.
“Pada waktu itu, saya penat dan baru pulang bekerja. Saya akui agak tertekan. Adakah saya dijadikan sebagai gimik atau tidak, itu perlu ditanya kepada Siti kerana dia yang membuat siaran ‘live’ berkenaan,” tambahnya.
Pasangan itu sebelum ini dilaporkann bercerai buat kali kedua selepas Aiman melafazkan cerai terhadap Siti Jamumall yang ketika itu sedang membuat siaran langsung dalam akaun TikToknya sebelum ia tular dalam media sosial.
Pada 6 Mei lalu, mereka pernah bercerai dan hadir ke mahkamah sama namun memutuskan kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat. Malah, difahamkan mereka bernikah di Satun, Thailand pada 1 Jun tahun lalu. – UTUSAN