KLANG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang ingkar arahan menurunkan papan tanda dan iklan rokok elektronik atau vape.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, notis turunkan iklan dan papan tanda akan dikeluarkan kepada pengusaha-pengusaha dan akan mengambil tindakan sekiranya tempoh ditetapkan tidak dipatuhi.
“Selama ini PBT tidak mengambil tindakan undang-undang walaupun ratusan kedai atau peniaga vape berniaga tanpa lesen terutama di bandar-bandar. Di Klang sahaja jumlahnya ada 45 peniaga.
“Notis turun iklan dan papan tanda akan dikeluarkan. Jika notis tidak dipatuhi pada tarikh dan masanya, PBT akan turunkan dan kos kami arahkan mereka bayar termasuk saman,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan semalam, semua PBT di Selangor diarah merampas dan menyita iklan berkaitan produk rokok elektronik (vape) sama ada secara fizikal atau digital.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara itu diputuskan menerusi satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan beliau mengenai cadangan pengharaman penjualan vape, baru-baru ini. – UTUSAN