ARAU: Rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan menjadi wadah utama di negeri ini dengan tata kelola dan tadbir urus yang penuh amanah berpaksikan syura serta merentasi perbezaan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap perkara seharusnya berfokus kepada jalan solusi, hikmah, cekap, pantas dan inklusif demi manfaat membela nusa serta nasib rakyat jelata.
Titah baginda, aspek transformasi, ekonomi, prasarana dan kemakmuran negeri dapat diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bersama perancangan komprehensif serta dinilai dari masa ke masa agar mencapai objektif dihasratkan.
“Insha-Allah, segalanya kehendak yang terpatri kukuh ini berupaya dizahirkan dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak,” titah baginda mewakili Usrah Kerabat Diraja Perlis pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau, di sini, hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang mewakili segenap kerabat negeri ini turut merafak sembah menyusun ucapan setinggi tahniah kepada Tuanku Syed Sirajuddin bersempena Sambutan Keputeraan Ke-82 baginda.
“Dibelakang Paduka Ayahandalah, seluruh Usrah Diraja kekal utuh dan teguh berdiri, memahat baiah taat setia nan tidak berbelah bagi dengan doa yang tiada henti.
“Momen indah ini lebih istimewa dan bermakna apabila disambut bersama sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin yang diraikan penuh gilang-gemilang di seluruh negeri,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan harapan agar negeri ini terus dilimpahi kebahagian, aman dan makmur selamanya.
“Harapan yang bersemi agar seisi negeri yang tercinta ini menjadi bumi yang dilimpahi dengan sinar kebahagiaan, mendamaikan serta menenangkan jiwa, aman makmur dan harmoni bersemi selamanya,” titah baginda.-UTUSAN