LANGKAWI: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mengikuti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), hari ini.
Turut berangkat, anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkesempatan mengikuti Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bersama Glide Marine Sdn. Bhd. bersempena LIMA’25 ini.
Selain itu, baginda juga berkenan mengadakan lawatan di beberapa pavillion sewaktu mengikuti Lawatan LIMA’25 di Mahsuri International Exhibition Center (MIEC), di sini.
Antara pavillion dikunjungi baginda adalah seperti Korea Pavilion, Italion Pavilion, Brahmos, Might, Tai, MBDA, Sarsilmaz, Catic, Kongsberg dan beberapa lagi.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan pertunjukan udara bersempena LIMA’25 ini.
Penganjuran LIMA’25 bagi edisi ke-17 menghimpunkan sebanyak 860 pempamer dari seluruh dunia merangkumi 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan dari 24 buah negara.
LIMA’25 turut melibatkan 31 buah kapal pameran statik dan fleet review bagi segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) yang menyaksikan peningkatan daripada 19 kapal pada LIMA’23.-UTUSAN