KANGAR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai merogol seorang gadis dalam kejadian di sebuah pondok berdekatan lorong Sri Penangi, di sini, Julai tahun lalu.
Penahanan lelaki berusia 21 tahun itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama Task Force IPD Kangar di Jalan Persiaran Jubli Emas, di sini, sekitar pukul 1 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Jumaat lepas sekitar pukul 9.20 malam di mana mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan telah dirogol seorang lelaki yang juga merupakan jiran sekampungnya.
“Mangsa keluar ke pondok itu untuk bertemu rakannya dan sewaktu tiba, dia telah didatangi oleh lelaki berkenaan yang kemudiannya bertindak menarik serta menampar mukanya.
“Suspek yang juga merupakan penganggur itu turut mengugut ingin mencederakan mangsa sekiranya tidak mengikut kehendaknya lalu bertindak merogol gadis itu dalam pondok tersebut,” katanya.
Susulan penahanan itu, Yusharifuddin berkata, polis turut melakukan semakan dan mendapati suspek terlibat mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.
Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Sebelum ini, lelaki itu juga pernah cuba menganggu mangsa sehingga menyebabkannya trauma sekiranya kejadian seperti itu berulang lagi. Mangsa kemudiannya mengambil tindakan untuk membuat laporan polis,” katanya.
Tambahnya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kangar di talian 04-9082340 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN