PKR Pahang sokong Nurul Izzah tanding Timbalan Presiden - Utusan Malaysia

PKR Pahang sokong Nurul Izzah tanding Timbalan Presiden

RIZAL JAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN : Selepas Selangor dan Melaka, kini PKR Pahang memberikan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar bertanding sebagai timbalan presiden parti itu bagi sesi 2025-2028.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Rizal Jamin berkata, sokongan itu untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan perjuangan parti itu dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang yang semakin kompleks.

“Usaha PKR Pahang menerusi sokongan kepada Nurul Izzah untuk mempersiap barisan kepimpinan yang mampu mendukung nilai reformasi, memacu pembaharuan dan membawa aspirasi rakyat ke tahap lebih tinggi dan dengan hasrat ini MPN memberi sokongan terbuka dan penuh keyakinan Nurul Izzah untuk menawarkan diri dan diangkat calon Timbalan Presiden PKR sesi 2025-2028.

“Nurul Izzah dengan gelaran puteri reformasi bukan asing dalam pentas perjuangan Keadilan apabila beliau telah membuktikan keteguhan prinsip dan iltizamnya sejak hari pertama gerakan reformasi digerakkan,” katanya di sini hari ini.

Rizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan berkata, berasaskan pengalaman sebagai bekas Naib Presiden PKR, ahli parlimen, aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara, Nurul Izzah membawa bersama kekuatan nilai dan wawasan yang begitu diperlukan untuk memimpin parti itu menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Dalam dunia politik hari ini yang semakin mencabar, kita memerlukan pemimpin yang mampu menjadi jambatan antara generasi pengasas reformasi dan generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan ini.

“Saya percaya Nurul Izzah mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif yang penting bagi menyuntik semangat baharu dalam parti. Beliau juga diyakini mampu memperkukuh lagi sinergi antara PKR dan rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Rizal berkata, semoga pencalonan Nurul Izzah mendapat sokongan seluruh anggota dan membuka lembaran baharu dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.

Ujarnya, majoriti ketua cabang dari seluruh negeri ini turut menyokong kenyataan beliau dan MPN Pahang memberikan sokongan kepada Nurul Izzah untuk diangkat sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025-2028. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN