RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang baharu sahaja dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelan jangka panjang bagi menetapkan hala tuju ekonomi dan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang iaitu dari tahun 2026 hingga 2030.
Bagi kami, pemain dalam industri solar yang membekalkan tenaga boleh baharu (TBB) kepada sistem bekalan tenaga negara yang menyumbang kepada proses peralihan tenaga negara, lebih tertarik kepada komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan agenda TBB.
Sebab kita semua sedia maklum, seluruh dunia kini bergerak ke arah sasaran sifar karbon. Negara kita tidak terkecuali. Kita ada sasaran untuk mengurangkan jejak karbon menjelang 2035 dan seterus sifar karbon menjelang 2050.
Jadi, agenda tenaga hijau dalam RMK13 sangat penting dalam memastikan perancangan ekonomi dan pembangunan negara. Ia menentukan apakah bentuk tenaga yang akan kita bersandar pada masa hadapan. Adakah tenaga fosil yang semakin menyusut sumbernya, atau tenaga berasaskan alam semula jadi yang bekalannya tidak terhad.
Bagi pemain industri TBB, kami melihat kesungguhan Malaysia terhadap peralihan tenaga dan kelestarian alam sekitar dalam RMK13. Ini termasuk hasrat kerajaan meningkatkan sumbangan TBB dalam campuran tenaga nasional kepada lebih daripada 40 peratus menjelang 2035.
Penekanan terhadap solar, sistem hidro mini, biojisim dan biogas, serta penyelidikan dalam tenaga angin dan hidrogen hijau menunjukkan kerajaan menyedari bahawa TBB adalah elemen penting untuk kita melangkah ke hadapan.
Satu lagi elemen paling penting berkaitan TBB dalam RMK13 adalah ia turut melibatkan rakyat di peringkat bawahan, di peringkat akar umbi untuk sama-sama terlibat sama ada dalam menjana mahupun menggunakan tenaga boleh baharu.
Penglibatan rakyat secara keseluruhan ini adalah melalui Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) yang turut disinggung oleh Perdana Menteri ketika membentangkan RMK13.
Ramai tahu bahawa TBB ini adalah sumber kekayaan baharu. Sebab itu banyak syarikat berlumba-lumba memasuki persaingan dalam pasarannya seperti membina ladang solar berskala besar, pemasangan sistem solar bumbung, sistem simpanan beteri (BESS) dan sebagainya.
Tetapi ini semua adalah untuk para pemain industri yang besar atau untuk mereka yang ada kemampuan kewangan. Jadi, manfaatnya termasuk kekayaan yang dijana melalui TBB ini hanya akan mengalir kepada mereka yang berkemampuan.
Bagaimana komuniti di luar bandar, kumpulan B40 yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan rakyat dan kos rendah boleh turut menikmati kekayaan daripada industri TBB ini?
Jawapannya adalah melalui program CREAM yang telah diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SEDA serta turut diperkemaskan lagi dalam RMK13 yang dibentang oleh Perdana Menteri.
Ini adalah inisiatif penting dalam memperluaskan lagi penjanaan dan penggunaan TBB di peringkat komuniti dan pengguna kecil terutamanya mereka yang tidak mampu memasang sistem solar sendiri.
CREAM adalah program solar berskala kecil atau sederhana yang dilaksanakan secara berkelompok. Ia dipasang secara kolektif dan dimiliki oleh komuniti.
Berbeza dengan program sebelum ini di mana panel-panel solar dipasang atas bumbung-bumbung rumah milik individu, tetapi melalui CREAM ia dipasang secara berkelompok.
Penduduk dalam sesuatu kawasan perumahan, kampung, rancangan Felda atau Felcra boleh berpakat untuk memasang solar di atas bumbung rumah mereka secara berkelompok. Elektrik yang dijana akan disalurkan kepada pengguna yang sudah bersetuju untuk membelinya.
CREAM adalah mekanisme yang membolehkan pengguna-pengguna kecil digabungkan untuk berkongsi manfaat daripada penjanaan TBB secara agregat atau terkumpul.
Beberapa pemilik rumah, contohnya 10 rumah penduduk kampung atau di taman perumahan kos rendah bergabung dengan membenarkan bumbung rumah mereka dipasang dengan panel solar oleh agregator atau pelabur TBB.
Pelabur akan menyewa bumbung-bumbung rumah dan sewa akan dibayar setiap bulan kepada mereka. Manakala elektrik yang dijana akan dijual terus kepada pengguna berpotensi sama ada kerajaan mahupun swasta.
Dengan kaedah ini, penduduk termasuk mereka yang di luar bandar akan turut mendapat faedah daripada penjanaan tenaga ini dalam bentuk bayaran sewaan bumbung rumah mereka.
Malah, pihak pelabur akan turut menggantikan bumbung rumah mereka dengan struktur baharu supaya mampu menampung pemasangan panel solar.
CREAM adalah program menggalakkan ekonomi skala dengan menggabungkan banyak buah rumah bagi menjana tenaga solar. Dengan kata lain, kekayaan yang dihasilkan melalui sektor TBB boleh dinikmati oleh semua peringkat rakyat seperti yang digariskan dalam RMK13.
Cuma dalam merealisasikan rancangan yang telah dibentang oleh kerajaan ini memerlukan iltizam semua pihak.
Pada masa ini, walaupun program itu menarik, tetapi ia tidak memihak kepada pelabur atau istilah yang digunakan ialah Local Energy Generator and Aggregator (LEGA).
Ini kerana caj yang dibayar kepada LEGA dibawah program CREAM adalah 27 sen. Daripada 27 sen, LEGA perlu membayar caj akses kepada TNB sebanyak 15 sen. Baki 12 sen yang tinggal kepada penjana atau pelabur tidak cukup untuk menampung kos pelaburan mereka.
Margin yang nipis ini menyebabkan pihak LEGA keberatan untuk terlibat dalam program ini kerana kemungkinan besar akan berhadapan dengan kerugian.
Sebab itu, pihak industri berharap kerajaan mengkaji semula caj akses 15 sen itu. Kurangkan sedikit atau jangan kenakan dulu caj akses ini buat sementara bagi menggalakkan penyertaan yang menyeluruh dalam CREAM.
Jika caj akses ini ini tidak disemak atau dikaji betul-betul, dibimbangi program CREAM ini hanya nampak cantik atas kertas, tetapi tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat.
Lagi pula dengan kadar caj baharu elektrik yang lebih rendah sekarang menyebabkan orang ramai tidak ada alasan untuk beralih kepada solar. Apatah lagi jika ia tidak menguntungkan.
Ibarat kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih’. Maka, setiap pemegang taruh dan setiap pihak yang mempunyai kuasa dan kapasiti perlu memainkan peranan dalam menjayakan program ini. Ia menguntungkan rakyat jika dilaksanakan. Tetapi andai kata dalam proses pelaksanaan ini ada pihak yang bakal menanggung kerugian, maka ia akan terhenti setakat itu sahaja.
Sedangkan jika dilihat dalam pembentangan RMK13, program CREAM berupaya memastikan kekayaan daripada sumber tenaga boleh baharu turut dinikmati oleh rakyat di akar umbi.
Selain itu, jika ada sokongan seperti dari Credit Guarantee Corporation (CGC) boleh mainkan peranan bagi memudahkan bank menyediakan pinjaman mudah dengan jaminan dari CGC. Pengurangan faedah dan sebagainya akan memudahkan aliran tunai untuk projek komuniti seumpama ini. – UTUSAN
DATUK Ir. Guntor Tobeng adalah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd. yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










