PETALING JAYA: Malaysia menyeru dunia mempertahankan nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain dalam memastikan keamanan terjamin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai kemanusiaan itu harus dilakukan tanpa mengira kepercayaan dan perbezaan budaya.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilakukan dengan dialog yang konstruktif dan bermaruah antara peradaban, di samping menekankan kepentingan pengiktirafan bersama secara bermaruah.
Anwar berkata pemeliharaan keadilan, belas kasihan dan kewujudan bersama penting dalam mengemudi kerumitan era pascanormal dan kekal penting untuk menegakkan nilai-nilai bersama yang menyokong keamanan dan kestabilan global.
“Dalam tempoh pascanormal ini, nilai-nilai seperti keadilan, belas ihsan dan kewujudan bersama tidak boleh diabaikan.
“Kita tidak boleh kehilangan maruah, nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan kepercayaan,” katanya dalam Syarahan Umum di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), Russia semalam.
Dalam syarahan bertajuk ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia, Anwar turut berkongsi kejayaan bagaimana ASEAN kini menjadi rantau paling aman dan ekonomi paling menyerlah di dunia kerana hubungan baik antara negara ahli sehinggakan segala keputusan diambil secara konsensus.
Katanya, kejayaan ASEAN adalah hasil sifat kebersamaan setiap kepimpinan negara ahli dalam memastikan rantau itu kekal aman sekali gus menyerlahkan potensi ekonominya.
“Lihat (pergolakan) Myanmar, kita harus mencari jalan penyelesaian, apabila saya memutuskan untuk Bangkok, Thailand, bertemu pemimpin Junta dan Pembangkang, saya merujuk kepada semua pemimpin ASEAN.
“Apabila berlakunya gempa bumi buruk, mereka perlukan gencatan senjata segera supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan. Tanpa berkecuali, semua negara ahli Singapura, Filipina, Brunei, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand semua berkata sila teruskan,” katanya.
Terdahulu, Anwar dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan sumbangannya di pentas global.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak bertindak bersendirian dan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan atau kejayaan diperolehnya hasil rundingan dilaksanakan.
“Ini bukan kejayaan Malaysia bersendirian sebaliknya kepercayaan, persahabatan dan keterhubungan antara negara ahli ASEAN,” katanya.
Sementara itu, dalam isu tarif Amerika Syarikat (AS), Anwar berkata, setiap ahli ASEAN mengadakan rundingan secara bilateral dengan AS bagi menyelesaikan isu tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin ASEAN meminta Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk sekurang-kurangnya mewakili rantau yang mempunyai populasi mencapai 650 juta orang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai USD3 trilion.
“Rantau ini bukan kecil, jika kami dilihat sebagai sebuah blok. Jadi dalam isu ini, kami melaksanakan rundingan secara bilateral dan mewakili ASEAN,” katanya.
Sementara itu menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook, Anwar membangkitkan isu laporan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dalam rundingan dua hala di Kremlin.
Anwar mengutarakan perkara tersebut sebagai mewakili rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa tragedi yang mengorbankan 298 nyawa termasuk 15 anak kapal.
Anwar berkata, Putin kekal dengan pendiriannya bahawa Russia menuntut siasatan rapi dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan politik dalam insiden tersebut.
“Tetapi saya kata ini laporan dibuat oleh ICAO, namun katanya beliau daripada awal telah memohon supaya siasatan dilakukan secara bebas dan teliti,” katanya.
Kata Anwar penjelasan diberikan oleh Putin itu akan disampaikan kepada keluarga mangsa.
Isnin lalu laporan ICAO menyatakan, pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia ketika melintasi ruang udara timur Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal. – UTUSAN