Bentong: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tindakan mencabar Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan hanya akan menimbulkan pertelingkahan dalam kalangan rakyat negara ini.
Perdana Menteri berkata, kesemua perkara itu termasuk hak istimewa bumiputera sudah dijamin dalam Perlembagaan dan ia tidak boleh dicabar serta perlu difahami oleh setiap rakyat.
“Ini harus diajar pada anak-anak, jika tidak, sampai bila? Sudah hampir 70 tahun Merdeka tetapi masih sibuk bergaduh soal bahasa, hak keistimewaan, padahal ia termaktub di dalam Perlembagaan dan bukan untuk dipertikai,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maahad Seluruh Bentong di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, semua pelajar di seluruh negara, tanpa me-ngira bangsa perlu menguasai Bahasa Melayu selaku bahasa rasmi Malaysia.
Menurut Anwar, sistem pendidikan negara membolehkan semua pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menguasai bahasa mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, penguasaan bahasa Mandarin dan Tamil itu dengan syarat Bahasa Melayu dikuasai sepenuhnya oleh semua pelajar.
“Malaysia ini sudah menjadi negara yang matang, tumpuan kita meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita. Saya tetapkan dalam negara ini penguasaan Bahasa Melayu yang baik, kita juga tekankan keperluan untuk bersaing di persada dunia melalui penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.
“Kita sudah pasti, tetapkan juga supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan guru-guru bahasa Cina bukan sahaja di SJKC tetapi di Sekolah Kebangsaan (SK) sekiranya ada anak-anak yang mahu belajar bahasa Cina atau Tamil mahupun Arab.
“Ini sebab kita mahu kedepan, tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Tionghua di Dewan SJKC Perting, semalam.
Dalam pada itu katanya, beliau sudah berbincang dengan pengendali sekolah agama di seluruh negara supaya mereka menambah subjek Bahasa Me-layu dan Sejarah di dalam kurikulum pengajian mereka.
Anwar berkata, langkah itu supaya selaras dengan tuntutan agar semua sistem pendidikan mengikuti dua subjek teras tersebut.
Tambahnya, beliau dan juga kementerian tidak akan campur tangan dalam urusan berkaitan kurikulum sekolah agama.
“Saya kata yang saya tidak mahu ganggu kurikulum, itu tok-tok guru tentukan, bukan urusan kementerian ataupun saya, tetapi kita minta supaya penguasaan Bahasa Melayu serta Sejarah ditambah,” katanya. – UTUSAN










