KANGAR: Para peniaga atau pengusaha vape di negeri ini diminta akur dan menerima baik keputusan kerajaan negeri yang mengharamkan penjualan rokok elektronik tersebut berkuatkuasa bermula 1 Ogos depan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, keputusan kerajaan negeri itu disifatkan cukup baik memandangkan ia untuk kebaikan semua pihak.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan sebelum penguatkuasaan tersebut, pihak MPK akan memberi khidmat nasihat kepada para pengusaha dan dinasihatkan menjalankan perniagaan lain selepas ini.
“Sebagai rekod, MPK tidak melesenkan premis atau kedai vape. Lesen hanya dikeluarkan dibawah kedai peralatan elektronik iaitu untuk jualan peranti elektronik sahaja. MPK juga tidak keluarkan lesen spesifik kedai vape.
“Malah, selepas Mac 2023 pihak MPK juga tidak lagi mengeluarkan lesen baru bagi premis kedai peralatan elektronik (yang ada jualan vape). MPK hanya memperbaharui lesen premis kedai peralatan elektronik sedia ada sahaja.
“Ini kerana susulan selepas mesyuarat jawatankuasa tetap kesihatan, pelesenan dan penguatkuasaan yang diadakan pada 17 Mac 2023 yang mana jawatankuasa berbincang daripada segi kerisauan mengenai kesan vape terhadap kesihatan dan kewajaran untuk mengawal pertumbuhan perniagaan vape supaya tidak terlalu meluas,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Perlis akan mengharamkan penjualan vape di negeri ini berkuatkuasa bermula 1 Ogos depan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dilaporkan berkata, penetapan tersebut dibuat berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharapkan penggunaan vape pada tahun 2022.
Kata Mohd. Shukri, langkah berkenaan juga diambil berikutan vape kini dilihat sebagai ancaman baharu khususnya buat golongan muda di negeri ini.
Sebelum ini, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.
Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Affendi berkata, MPK menyambut baik keputusan kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape di Perlis berkuatkuasa bermula 1 Ogos depan.-UTUSAN