Peniaga berusia 62 tahun rosakkan palang parkir pintar ditahan polis - Utusan Malaysia

Peniaga berusia 62 tahun rosakkan palang parkir pintar ditahan polis

KENDERAAN dipandu suspek yang melanggar palang parkir pintar berjaya dirakam dari kamera CCTV yang berada di kawasan Jalan Seruling, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis berjaya menahan seorang peniaga berusia 62 tahun yang dipercayai terlibat dengan perbuatan khianat melanggar dan merosakkan palang parkir pintar yang dalam tempoh percubaan di Jalan Seruling di sini, hari ini.

Lelaki itu ditahan di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Syed Alwi, Pusat Bandar Kangar di sini iaitu dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas laporan dibuat oleh wakil Snatch-P yang merupakan penyedia sistem pengurusan parkir pintar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat tiga unit sistem palang parkir automatik di Jalan Seruling telah dirosakkan.

“Hasil pemeriksaan juruteknik syarikat juga mengesahkan sistem parking palang automatik tersebut sudah rosak dan tidak berfungsi lagi. Kali terakhir pengadu melihat sistem parking palang automatik tersebut berada di dalam keadaan baik adalah pada Sabtu lalu sekitar pukul 7 petang setelah selesai ujilari sistem palang berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Yusharifuddin berkata, jumlah kerugian ekoran kejadian itu adalah sekitar RM30,000 dan polis turut merampas beberapa barangan suspek antaranya sebuah kenderaan jenama Nissan Moden Navara bersama alat kawalan jauh kenderaan berkenaan.

“Polis turut melakukan pemeriksaan ke atas beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di sekitar kawasan terlibat. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dijalankan esok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Snatch Park BizSolutions Sdn Bhd, Edward Poh berkata, satu laporan polis telah dibuat sebelum ini berikutan tindakan pihak terlibat adalah merupakan satu kesalahan jenayah.

Kata beliau, pihaknya menyerahkan tindakan selanjutnya kepada polis mengikut saluran undang-undang ditetapkan.

“Sistem dan palang parkir baharu kami telah dirosakkan oleh seorang individu yang tidak berpuas hati dan memilih bertindak sedemikian berbanding menghubungi kami untuk berbincang secara baik atau mengadakan pertemuan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati,” katanya.

Susulan itu, Edward berkata, pihaknya juga telah menempatkan ejen khidmat pelanggan di lokasi pelaksanaan parkir pintar itu bagi menjawab sebarang pertanyaan orang awam secara bersemuka.

Katanya, talian hotline turut diaktifkan dalam memudahkan orang awam berhubung dengan pihak syarikat malah maklumat mengenai pelaksanaan itu turut dipaparkan pada papan tanda di kawasan tempat parkir kenderaan.

“Kami berharap insiden seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang malah orang awam digalakkan untuk menghubungi kami sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan sistem parkir berbayar di Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN