KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan membuat keputusan berhubung pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meneliti kertas kerja berkaitan perkara itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah pun mengarahkan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin membuat kertas kerja tersebut susulan mesyuarat bersepadu bersama agensi terlibat sebelum ini.
“Saya sudah arahkan satu kertas dibuat untuk dibentangkan kepada MMKN, kita akan mempertimbangkan, keputusan kerajaan negeri harus dibuat secara menyeluruh dengan melihat kepada semua aspek supaya ia dapat memberi jaminan kepada kesihatan generasi masa depan dan kini,” katanya, kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan satu mesyuarat bersepadu bersama Pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan gambaran menyeluruh terhadap penguatkuasaan, perundangan dan kesan kepada sosioekonomi.
Pada 24 April lalu, media melaporkan Kerajaan Negeri Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di negeri berkenaan bermula 1 Ogos depan. – UTUSAN