Pengebom berani mati sasar bas bawa pelajar sekolah di Pakistan

Empat maut pengebom sasar bas bawa pelajar sekolah di Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya empat kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 30 yang lain cedera dalam serangan bom bunuh diri yang disyaki menyasarkan sebuah bas membawa pelajar dari sekolah ketenteraan di barat daya Pakistan.

Pegawai kanan kerajaan tempatan di daerah Khuzdar di wilayah Balochistan, Iqbal Dashti berkata, sebuah bas yang membawa pelajar Sekolah Awam Tentera (APS) disasarkan dengan bom, namun jenis bahan letupan masih dalam siasatan.

“Siasatan awal menunjukkan ia adalah serangan bom bunuh diri,” katanya.

Seorang pegawai kanan polis turut mengesahkan jumlah kematian kepada AFP dengan syarat identitinya tidak didedahkan kerana tiada kuasa bercakap kepada media, sambil memaklumkan angka korban mungkin meningkat.

Sekolah tersebut menempatkan anak-anak anggota tentera serta orang awam yang tinggal di kawasan berkenaan.

Pada 2014, Sekolah Awam Tentera di Peshawar, dalam wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan, diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang membunuh lebih 150 orang, kebanyakannya pelajar.

Serangan itu mencetuskan tindakan keras besar-besaran terhadap kegiatan kumpulan yang sudah lama berkembang di kawasan sempadan negara tersebut.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa dan mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan serta sanggup menyasarkan kanak-kanak tidak berdosa.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×