PUTRAJAYA: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini memaklumkan belum menerima sebarang permohonan bagi perhimpunan dan perarakan ‘bantah papar harga ubat’ yang dijangka dianjurkan di sini, Selasa ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima permohonan permit itu daripada pihak penganjur.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah menerima makluman mengenai perkara (perarakan dan perhimpunan) itu yang diterima menerima email.
“(Kami telah terima) Surat pemakluman melalui email. Dan ia dianggap notis pemberitahuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan pengamal perubatan swasta akan mengadakan perarakan bagi membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dalam penguatkuasaan paparan harga ubat yang dilaksanakan kerajaan mulai semalam.
Perarakan dijadualkan bermula dari bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada 6 Mei ini membabitkan pengamal perubatan sektor swasta dari seluruh negara.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka bermula 1 Mei selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan. – UTUSAN