ISLAMABAD: Kashmir yang ditadbir Pakistan menggesa penduduk berhampiran sempadan dengan India supaya menyimpan stok makanan ketika ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua negara selepas serangan bulan lalu.
Perdana Menteri Kashmir yang ditadbir Pakistan, Chaudry Anwar ul Haq mengarahkan penyimpanan bekalan makanan bagi tempoh dua bulan di kawasan pilihan raya yang terletak di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).
Kerajaan wilayah itu juga mewujudkan tabung kecemasan berjumlah satu bilion rupee (RM14.9 juta) bagi memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain di 13 kawasan terlibat.
Jentera kerajaan dan milik persendirian turut dikerahkan untuk menyelenggara jalan raya di kawasan sepanjang LoC.
India menyalahkan Pakistan dalam serangan lelaki bersenjata di kawasan pelancongan Pahalgam dalam wilayah Kashmir ditadbir India pada 22 April lalu, yang mengorbankan 26 nyawa.
Bagaimanapun, Islamabad menolak sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Kedua-dua negara saling berbalas tembakan selama lapan malam berturut-turut di sepanjang Garisan Kawalan, menurut tentera India.
Pada masa sama, India dan Pakistan turut mengambil pelbagai tindakan diplomatik yang bersifat menghukum.
Serangan di Kashmir yang ditadbir India serta ketegangan yang timbul selepas itu – termasuk pengusiran diplomat dan penutupan lintasan sempadan – menimbulkan kebimbangan akan tercetus konflik besar antara India serta Pakistan.- AFP










