PETALING JAYA: “Tiada lagi tempat yang selamat, tiada makanan, tiada ubat dan rakyat Gaza kini hanya tidur di atas jalan.”
Demikian antara pengakuan memilukan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan seorang rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga di Gaza, Nurul Ain Haron mengenai situasi sebenar yang semakin meruncing di bumi Palestin.
Menurut Nadir, sejak tentera Israel menutup sepenuhnya sempadan pada 3 Mac lalu, kebanyakan rakyat Gaza khususnya di bahagian utara kini bergantung kepada saki-baki makanan yang masih disimpan oleh peniaga tempatan.
“Setiap hari mereka hanya makan mi kering dan kacang. Bantuan tidak dibenarkan masuk, sedangkan keperluan harian kian mendesak.
“Semua hospital di utara juga sudah tidak beroperasi. Di selatan pula, bekalan ubat juga berkurangan. Doktor luar tidak dapat masuk, manakala pesakit hanya bergantung kepada rawatan seadanya,” katanya.
Nadir turut mendedahkan bahawa semakin ramai rakyat Palestin termasuk keluarga mentuanya mula meluahkan rasa putus asa akibat tekanan mental dan fizikal yang berpanjangan.
“Kami dengar sendiri suara mereka. Ada yang rela menerima syarat-syarat berat asalkan perang dihentikan. Mereka benar-benar sudah hilang harapan,” katanya.
Tambah beliau, CGM masih meneruskan usaha bantuan kemanusiaan meskipun dalam keadaan yang amat terbatas. Mereka terpaksa mengurangkan bantuan makanan dan menumpukan kepada pendidikan serta sokongan psikososial secara dalam talian.
Dalam satu perkongsian berasingan, Nurul Ain memaklumkan bahawa bapa mentuanya menerima panggilan ancaman bom dari tentera Israel dan hanya diberi masa 10 minit untuk keluar dari rumah.
“Mereka keluar sehelai sepinggang, kini tinggal di tepi jalan tanpa makanan, tanpa khemah. Begitu juga sahabat saya, Asmaa, yang kini hilang jejak ibunya dan turut berada di jalanan.
“Situasi semakin meruncing apabila kawasan Al-Mawasi di Khan Younis yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon pemindahan selamat turut diserang semalam, mengorbankan tujuh penduduk,” kata Nurul Ain.
Dalam pada itu, Nurul Ain turut menyatakan, lebih dua bulan Gaza tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan secara menyeluruh.
“Semalam, daripada 3,000 lori bantuan yang berbaris di sempadan, hanya empat sahaja yang dibenarkan masuk. Ia ibarat setitik air di padang pasir.
“Rakyat Gaza kini menempuh kehidupan yang tidak menentu, tanpa bekalan asas, tanpa tempat berlindung dan tanpa jaminan keselamatan. Ramai tidur di tepi jalan, berpuasa bukan kerana pilihan, tetapi kerana kelaparan,” ujarnya. – UTUSAN










