IPOH: Pasangan kekasih antara tiga ditahan bersama 27.4 kilogram (kg) dadah bernilai RM4.6 juta dalam serbuan berasingan di Sitiawan dan Lumut pada Isnin serta Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan pertama pada pukul 7.30 pagi di sebuah rumah di Simpang Tiga, Sitiawan pada Isnin membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun dan teman wanitanya warga Vietnam berusia 24 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 15,342 gram (15.3 kg) selain 237 gram dadah sama pada motosikal di hadapan rumah.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Susulan tangkapan tersebut, dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pasukan serbuan kemudiannya dibawa ke sebuah pangsapuri di Taman Sejati, Sitiawan pada hari sama sekitar pukul 8.55 malam.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas serbuk disyaki dadah jenis ketamin seberat 114 gram dan 50 biji pil eramin 5 seberat 13 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini semalam.
Noor Hisam berkata, pasukan melakukan serbuan ketiga dengan dipandu arah oleh kesemua suspek pada pukul 7.19 pagi keesokkan hari di sebuah rumah di Desa Manjung Raya, Lumut dipercayai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menjumpai dadah disyaki MDMA seberat 11,437 gram (11.4 kg) dan 289 gram ketamin serta peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis benzodiazepine atau erimin 5. Hasil semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lalu dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan dan negeri Perak. – UTUSAN










