Palang parkir pintar rosak angkara khianat

Palang parkir pintar rosak angkara khianat

PALANG parkir pintar yang dalam tempoh percubaan di pasar besar lama Kangar dirosakkan dipercayai perbuatan khianat. – UTUSAN/ASRUL AIMRAN ABD. JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan merosakkan palang parkir pintar yang sedang dalam tempoh percubaan di sekitar Jalan Seruling dan kawasan pasar besar lama di sini, merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan langsung tidak mempunyai adab.

Sistem parkir pintar yang sedang diperkenalkan kerajaan Perlis sebagai usaha memperkemas pengurusan parkir awam menjadi mangsa khianat individu tidak dikenali dipercayai akibat rasa tidak puas hati.

Walaupun terdapat bantahan terhadap pelaksanaan sistem tersebut, ramai berpendapat bahawa tindakan vandalisme tetap salah dari segi undang-undang berikutan harta awam yang dirosakkan bukan sahaja menjejaskan kemudahan masyarakat.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas laporan diterima, suspek kes khianat berkenaan yang juga seorang peniaga berusia 62 tahun berjaya ditahan polis di hadapan sebuah bank di Jalan Raja Syed Alwi di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, suspek yang memandu kenderaan jenis Nissan Moden Navara telah dengan sengaja melanggar palang parkir berkenaan di tiga lokasi iaitu di Jalan Seruling, pasar besar lama dan laluan keluar di belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di sini.

“Pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek dengan anggaran kerugian mencecah RM30,000,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil kesal dengan perbuatan itu kerana ia menggugat usaha pihak berkuasa tempatan dalam memperkemas sistem pengurusan parkir demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Jangan sesekali membenarkan sikap samseng dan tindakan luar undang-undang menentukan dasar dan pelaksanaan di kawasan awam.

“Tindakan sebegini perlu ditolak kerana ia mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak beradab dalam masyarakat bertamadun. Pihak berwajib akan menjalankan siasatan penuh dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dengan perbuatan ini.

“Kita yakin sistem palang dan bay-lock ini adalah satu mekanisme yang baik dan berkesan untuk memastikan pengurusan parkir lebih teratur,” katanya.

Sistem parkir pintar Perlis melibatkan 6,000 daripada 8,500 lot parkir keseluruhan, dengan kadar bayaran serendah RM0.60 sejam dan 15 minit pertama adalah percuma.

Asrul Aimran berkata, kerajaan akan meneliti kelemahan sistem semasa dan membuat penyesuaian demi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat dan selari dengan aspirasi menjadikan Perlis sebagai sebuah bandar pintar, seperti yang dihasratkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya