PETALING JAYA: Keputusan berhubung pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu bagi jururawat dan petugas syif kesihatan perlu dimuktamadkan segera bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin.
Gesaan itu disuarakan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) yang menolak sebarang pelaksanaan dasar tersebut selagi pelbagai isu melibatkan kebajikan jururawat belum diselesaikan secara menyeluruh.
Presidennya, Saaidah Athman berkata, struktur perkhidmatan kesihatan negara masih jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia, khususnya dari segi kebajikan serta pengurusan sumber manusia dalam sektor kesihatan.
Menurut beliau, sebarang keputusan yang bakal dimuktamadkan kerajaan perlu mengambil kira suara serta kebajikan jururawat secara menyeluruh demi menjamin kelangsungan dan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
“Petugas kesihatan adalah aset penting kepada Kementerian Kesihatan (KKM), manakala jururawat pula merupakan nadi dan jantung kepada sistem penjagaan kesihatan negara. Soalnya, apakah akan berlaku sekiranya jantung ini gagal berfungsi?
“Untuk memastikan KKM terus bersaing dan memberikan perkhidmatan terbaik, petugas kesihatan perlu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan moratorium kepada tempoh interim pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat KKM dilanjutkan sebulan lagi, sebelum rumusan sesi libat urus dibentangkan kepada Kabinet pada 1 Julai depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tempoh pelanjutan moratorium itu membolehkan pihaknya untuk meneliti pelbagai aspek melibatkan petugas kesihatan terutamanya membabitkan isu kebajikan.
Mengulas lanjut, Saaidah merakamkan penghargaan kepada Dr. Dzulkefly atas keprihatinan beliau terhadap nasib jururawat dan petugas kesihatan.
Namun, katanya, masih terdapat pelbagai isu penting melibatkan nasib jururawat yang memerlukan penyelesaian segera.
Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuk struktur gaji yang tidak seimbang dengan beban tugas, kadar Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) yang kekal RM100 sejak 18 tahun lalu serta kemerosotan kebajikan anggota.
“Elaun perjalanan, bayaran kerja lebih masa serta ketiadaan elaun on-call untuk jururawat juga menjadi isu berlarutan.
“Kemudahan fasiliti dan peralatan kesihatan yang uzur dan tidak mencukupi turut menjejaskan mutu perkhidmatan,” katanya.
Saaidah berkata, jururawat di negara ini turut jauh ketinggalan dari segi imbuhan berbanding negara-negara lain.
“Elaun pos-basik di negara ini hanya RM100. Sebagai perbandingan, di Singapura jururawat boleh menerima sehingga RM3,000 sebulan, di hospital swasta tempatan seperti KPJ sekitar RM250, manakala di negara-negara Arab pula boleh mencecah RM3,000.
“Perkara ini merupakan realiti yang wajar diberi perhatian serius oleh pihak kementerian demi memastikan kebajikan jururawat tidak terus terabai,” katanya. – UTUSAN










