NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi kebenaran kepada angkatan tentera negara untuk bertindak balas terhadap serangan maut di Kashmir minggu lalu, selepas New Delhi menuduh Pakistan sebagai dalang serangan tersebut.
Modi mengadakan mesyuarat tertutup bersama ketua tentera dan keselamatan, di mana beliau memberi kuasa kepada pasukan tersebut untuk menentukan sendiri bentuk, sasaran dan masa yang sesuai bagi tindakan balas terhadap serangan pengganas itu.
Kerajaan turut mengeluarkan rakaman video menunjukkan Modi berwajah tegas dalam pertemuan bersama ketua tentera serta Menteri Pertahanan, Rajnath Singh.
Tentera India melaporkan berlaku beberapa siri tembak-menembak dengan pasukan Pakistan di sepanjang Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto di wilayah Kashmir yang dipertikaikan dan dijaga ketat di kawasan pegunungan Himalaya.
Tentera Pakistan tidak mengesahkan kejadian tembakan tersebut, namun radio rasmi negara itu pada Selasa melaporkan pasukan berkenaan menembak jatuh sebuah dron milik India, yang dikatakan menceroboh ruang udara Pakistan.
Hubungan antara dua negara semakin tegang selepas India menuduh Pakistan menyokong serangan mengorbankan 26 orang di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu.
Polis India mengeluarkan poster memburu tiga suspek utama, dua warga Pakistan dan seorang warga India yang didakwa terlibat dalam serangan itu dan merupakan ahli kumpulan Lashkar-e-Taiba, termasuk menawarkan ganjaran dua juta rupee (RM101,401) bagi setiap maklumat yang membawa kepada penangkapan mereka.
Minggu lalu, Modi berikrar akan menjejaki dan menghukum pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan di kawasan pelancongan Pahalgam itu termasuk kumpulan yang menyokongnya.
Kenyataan tegas itu mencetus kebimbangan tindakan ketenteraan yang pesat, dengan beberapa negara termasuk China menyeru agar semua pihak bertenang dan mengadakan dialog.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Selasa turut menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar bagi menawarkan peranannya untuk membantu meredakan ketegangan.-AFP










