LIMA’25: Domain Daratan masih relevan dalam konteks operasi bersama - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

LIMA’25: Domain Daratan masih relevan dalam konteks operasi bersama – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kanan) menerima penghormatan bagi memeriksa barisan sewaktu mengadakan lawatan ke kapal Rusia di Resort World Langkawi (RWL) bersempena LIMA’25 hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Domain Daratan masih relevan dalam konteks operasi bersama melibatkan aset-aset maritim dan aeroangkasa walaupun tidak diberi fokus secara khusus sepanjang penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aset-aset udara dan perairan seperti pasukan khusus, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan sebagainya merupakan keperluan untuk kompenan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Titah baginda, untuk kegunaan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LIMA’25 menjadi platform dalam memperkenalkan pelbagai jenis aset serta peralatan bagi sistem Pusat Perintah, Kawalan, Komunikasi, Komputer, Perisikan, Pengawasan dan Peninjauan (C4ISRT).

“Aset-aset ini boleh mengukuhkan keupayaan dan kapabiliti ATM secara umumnya di dalam bidang-bidang yang berkaitan. Ia juga memperkasakan pembangunan sosio- ekonomi rakyat tempatan dalam sektor pelancongan serta pembangunan industri dan perniagaan tempatan yang berkaitan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyaksikan demostrasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Resort World Langkawi (RWL) bersempena LIMA’25, hari ini.

Selepas demostrasi itu, baginda turut berkenan melawat ke kapal KRI Bung Karno milik Indonesia dan RFS Rezkiy milik Rusia.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, LIMA’25 membuka peluang-peluang pembangunan baharu bagi Industri Pertahanan Maritim dan Aeroangkasa di Langkawi serta kawasan-kawasan berdekatan termasuk Perlis.

“LIMA’25 membuka peluang kepada pemain industri pertahanan tempatan untuk berkolaborasi dan berkerjasama dengan syarikat-syarikat dari industri pertahanan antarabangsa seperti Airbus (UK), MBDA (Perancis), Kongsberg (Norway), Korea Aerospace Industries (KAI) dan sebagainya,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN