Konflik India-Pakistan: Syarikat penerbangan Asia ubah laluan, batal perjalanan

Konflik India-Pakistan: Syarikat penerbangan Asia ubah laluan, batal perjalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Beberapa syarikat penerbangan utama Asia mengumumkan perubahan laluan dan pembatalan penerbangan pergi dan dari Eropah, susulan pertempuran sengit antara India dan Pakistan yang disifatkan terburuk dalam lebih dua dekad antara negara kuasa nuklear itu.

EVA Air dari Taiwan dalam kenyataan kepada Reuters berkata, syarikat itu akan menyesuaikan laluan penerbangan ke dan dari Eropah bagi mengelak ruang udara yang terjejas demi keselamatan.

Satu penerbangan dari Vienna terpaksa berpatah balik ke bandar itu, manakala penerbangan dari Taipei ke Milan akan dilencongkan ke Vienna untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal.

Syarikat Korean Air turut mengubah laluan penerbangan antara Seoul Incheon dan Dubai mulai Rabu dengan memilih laluan selatan yang melalui Myanmar, Bangladesh dan India, menggantikan laluan terdahulu yang melintasi ruang udara Pakistan.

Thai Airways pula memaklumkan semua penerbangan ke destinasi di Eropah dan Asia Selatan akan dilencongkan bermula awal pagi Rabu dan menasihati penumpang agar bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan.

China Airlines dari Taiwan pula memaklumkan bahawa pelan kecemasan telah diaktifkan dan beberapa langkah keselamatan telah diambil untuk melindungi penumpang dan anak kapal, namun tidak memperincikan tindakan tersebut.

Laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di luar Taipei menunjukkan bahawa penerbangan terus China Airlines ke London pada Rabu telah dibatalkan.

Sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, banyak penerbangan dari Taiwan ke Eropah menggunakan laluan ruang udara Rusia. Namun selepas Taipei menyertai sekatan Barat terhadap Moscow, penerbangan kini dilencongkan melalui India, Pakistan dan Asia Tengah.

Terdahulu, India telah melancarkan serangan ke atas wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan manakala Islamabad pula mendakwa telah menembak jatuh lima jet pejuang milik India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×