LANGKAWI: Keupayaan dan kesiapsiagaan kuasa maritim perlu sentiasa berwibawa dalam memastikan kemampuan negara untuk menggalas sebarang tanggungjawab penting.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, fokus pembangunan aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dalam Angkatan Masa Hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga seharusnya mengambil kira aspek kesiapsiagaan bagi menghadapi segala kemungkinan.
Titah baginda, aset-aset TLDM akan membantu Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Khusus (Special Forces) untuk melaksanakan operasi mereka di kawasan tanggungjawab (KTJ) yang diamanahkan.
“Fokus pembangunan aset TLDM juga mengambil kira segala persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan seperti Peperangan Anti-Udara, Peperangan Anti-Permukaan dan Peperangan Anti-Kapal Selam, Peperangan Periuk Api, Peperangan Laut Strategik, Operasi Amfibi dan Military Operations Other Than War (MOOTW).
“Ini adalah kerana Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai dua wilayah iaitu semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan.
“Di samping itu, Selat Melaka dan Selat Johor juga merupakan perairan utama negara yang perlu dipertahankan dan dipantau 24 jam,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Resort World Langkawi (RWL), hari ini.
Mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, LIMA menyediakan platform terbaik buat TLDM serta agensi-agensi maritim berkaitan mengenalpasti aset-aset termoden, canggih dan berasaskan keupayaan untuk memenuhi tugas, tanggungjawab serta peranan masing-masing.
“LIMA juga berupaya untuk menjadi wadah bagi mempamerkan aset-aset maritim yang pelbagai dimensi, kebolehoperasian, berorientasikan misi dan bersesuaian dengan tujuan,” titah baginda.-UTUSAN