PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tidak wajar pihaknya dipersalahkan berhubung kehilangan Datin Seri Pamela Ling kerana insiden itu berlaku di luar bidang kuasa agensi tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ini susulan terdapat beberapa pihak yang mendakwa pihaknya tidak memberikan perlindungan yang mencukupi kepada Pamela sebelum kehilangannya pada 9 April lalu.
Justeru, katanya, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Orang ramai tidak boleh menyalahkan SPRM kerana kejadian berlaku di jalan awam dan bukan di dalam kawasan SPRM, ia di luar kawalan kami.
“Malah, tiada sebarang petanda awal yang menunjukkan wujud ancaman terhadap keselamatan beliau sebelum kejadian.
“Sepanjang beberapa kali kehadiran beliau ke ibu pejabat SPRM sebelum ini bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram, tiada sebarang insiden mencurigakan berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Azam, pihaknya akan terus memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung kehilangan individu terbabit.
“Malah, pegawai penyiasat kami yang mengambil keterangan beliau juga telah memberi kenyataan kepada polis,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Pamela Azam enggan mengulas lanjut.
Namun, beliau menegaskan siasatan akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPRM tanpa melibatkan agensi lain pada masa ini.
Media semalam melaporkan siasatan polis setakat ini berkaitan kes culik membabitkan Pamela menjurus kepada kemungkinan suaminya serta beberapa individu lain sebagai suspek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan masih berjalan dan setakat ini pihaknya tidak menolak kemungkinan suami kepada wanita terbabit adalah suspek selain beberapa individu lain.
“Buat masa ini, kemungkinan (suami Pamela sebagai suspek) ke arah itu, dan mungkin ada orang lain. Siasatan masih belum (lengkap) itu lagi dan kita percaya ada org lain kita ambil sebagai suspek juga,” katanya.
Menurutnya, setakat ini seramai 16 individu telah diambil keterangan termasuk suami kepada Pamela. – UTUSAN










