KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan papan pemarkahan baharu di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, hasil perbincangan KDN FC telah bersetuju untuk membawa masuk pelabur bagi menjayakan usaha tersebut.
“Alhamdulillah, perkara itu sudah memasuki peringkat untuk memuktamadkan kerjasama.
“Secara asasnya pihak pelabur bersetuju untuk menggantikan papan pemarkahan sedia ada dengan yang baharu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Zamakhsari memberitahu, bagaimanapun kerajaan negeri akan mewujudkan beberapa terma bagi memastikan perjanjian itu bersifat menang-menang.
Katanya, melalui perjanjian itu pelabur akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan papan pemarkahan baharu yang dijangka menelan belanja
antara RM3 juta hingga RM4 juta.
“Kita tidak diberitahu punca sebenar kerosakan papan pemarkahan sedia ada. Hanya dimaklumkan ia merupakan kerosakan lama dan penyelenggaraannya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagaimanapun, kita diberitahu papan pemarkahan sedia ada masih menggunakan teknologi lama dan selepas ini pihak pelabur akan memasang papan pemarkahan berteknologi baharu di Stadium Sultan Muhammad IV,” ujarnya.-UTUSAN