JOHOR BAHRU: Jenazah Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut akibat terjatuh di Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini pada pukul 7.20 pagi ini.
Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir serta mengiringi jenazah dari kediamannya di D’Sierra Ville, di sini tanah perkuburan tersebut.
Terdahulu, jenazahnya disolatkan di Surau Raudhatul Jannah Sierra Perdana selepas subuh yang diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29.
Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 malam tadi sebelum dibawa pulang ke kediamannya, di sini.
Allahyarham Rennie meninggalkan seorang isteri, Mastura Tawap, 53, dan tiga anak, iaitu Mohamad Akashah, Syafaatul Amirah, 28, dan Anisa Sofea, 20.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan.
Mangsa dikatakan terlepas tali keselamatan menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh di laluan curam tersebut.
Laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada tahun 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrem berbanding Sembalun dan Senaru. – UTUSAN